Permohonan pengeluaran i-Citra bermula esok

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR 11 Julai – Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur di bawah 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra bermula esok melalui icitra.kwsp.gov.my, tiga hari lebih awal daripada tarikh jangkaan asal.

KWSP berkata, bagi memudahkan untuk mengemukakan permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran itu.

“i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

“Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.

“Pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Ogos 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021.

Ia sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19, serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.

Bagi maklumat lanjut berkenaan i-Citra serta cara-cara membuat permohonan, ahli boleh merujuk saluran komunikasi rasmi KWSP, laman webnya di www.kwsp.gov.my, atau menghubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

873
Kongsi :
Previous post COVID: Kes baharu kekal lebih 9,000 kes
Next post 29 premis dan kilang ditutup akibat peningkatan kes COVID-19
Ubah saiz-+=