CSR kembalikan senyuman

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 September – Usaha yang dijalankan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pembedahan Klef Bibir dan Lelangit nyata memberi sinar baharu dan mengembalikan semula senyuman 160 golongan istimewa.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, program CSR yang dimulakan sejak 2004, kini sudah 19 tahun usianya yang bermatlamat membantu mereka yang mengalami klef bibir menjalani kehidupan normal.

Beliau berkata, program CSR itu adalah anjuran Putra Specialist Hospital (Melaka), Biro Belia DMDI dan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) yang turut mendapat kerjasama daripada pasukan pakar perubatan dari Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Melaka.

“Program CSR ini sudah bermula sejak 2004 dan kali terakhir diadakan pada 2017 dalam tempoh itu usaha murni ini telah membantu seramai 325 orang yang mengalami klef bibir untuk jalani pembedahan.

“Daripada jumlah itu, 160 memperoleh kehidupan normal manakala selebihnya memerlukan pembedahan dan rawatan lanjut.

“Pesakit ini bukan sahaja terdiri dari dalam negara malah membabitkan pesakit Indonesia yang dipilih dan disaring oleh pakar kedua-dua negara untuk mendapatkan rawatan secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Majlis Perasmian Penutup Program Bakti Sosial Pembedahan Klef Bibir dan Lelangit.

Terdahulu, program yang berlangsung di Hospital Putra itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Menurut Hee Sem, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan cakna terhadap kebajikan rakyat malah usaha ini adalah tanggungjawab bersama yang perlu sentiasa dizahirkan.

“Saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada penganjur yang menjalankan program CSR bersama Kerajaan Negeri Melaka begitu juga dengan Persatuan Cleft Lip and Palate Association Malaysia (CLAPAM)  yang secara konsisten bergerak memberikan penerangan kepada ibu bapa.

“Saya juga berharap hubungan kerjasama antara Melaka dan Indonesia  dapat bertukar pandangan serta ilmu perubatan daripada pakar kesihatan.

“Malah untuk hari ini juga seramai enam pesakit termasuk dua dari Indonesia berjaya dirawat sejak dua hari lepas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1885
Kongsi :
Previous post Bola sepak kanak-kanak jadi acara TMM2024
Next post Majlis kahwin mualaf besar-besaran Disember depan
Ubah saiz-+=