Majlis kahwin mualaf besar-besaran Disember depan

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PANTAI KUNDOR 16 September –  Majlis Perkahwinan Mualaf dan Walimatulurus bakal diadakan secara besar-besaran pada Disember depan selepas menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan asnaf di Melaka.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah berkata penganjuran program melibatkan mualaf dan asnaf itu memasuki siri ketiga dan ia bakal menjadi pelengkap dalam Karnival Islamik yang dijadual diadakan pada 23 hingga 31 Disember ini.

Menurut beliau, perkahwinan secara beramai-ramai itu mampu membantu keluarga pasangan dan menjimatkan perbelanjaan untuk menguruskan majlis perkahwinan.

“Sambutan yang kita terima selepas memasuki siri kedua tahun ini begitu menggalakkan malah kita teruja melihat peningkatan jumlah golongan mualaf di Melaka menandakan dakwah itu dapat diperkasakan dan dibimbing kepada jalan yang benar.

“Malah perkahwinan ini juga merupakan satu ibadah dan kita berharap pasangan ini sentiasa kekal bahagia hingga ke akhir hayat dan menjalankan kehidupan berlandaskan Islam yang sebenar.

“Susulan sambutan luar jangka ini kita akan perbesarkan dalam sambutan Karnival Islamik hujung tahun ini untuk jadikan (majlis) perkahwinan beramai-ramai ini sebagai salah satu acara menarik,” katanya.

ed560c86-1720-48c1-9a35-e95aa75f0bf3
LIMA pasang pengantin mualaf diraikan dalam majlis diadakan itu dengan perarakan masuk menggunakan beca.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perkahwinan Mualaf dan Walimatulurus Siri 2 2023 diadakan di Puteri Bay Hotel, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Muhammad Ikram Ibrahim, Pegawai Khas Agama MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud serta tetamu lain.

Terdahulu, lima pasangan mualaf melalui detik bahagia selepas diraikan meriah pada majlis yang berlangsung di hotel berkenaan tengah hari tadi.

Majlis itu dimulakan dengan perarakan masuk pengantin menggunakan lima buah beca telah disambut tetamu kehormat yang hadir.

Program kemudiannya diteruskan dengan acara persandingan di dalam dewan yang dihadiri ahli keluarga terlibat diikuti majlis memotong pulut kuning sebelum diakhiri dengan acara makan beradap.

Kelima-lima pasangan terbabit turut menerima hadiah perkakasan elektrik bernilai RM500, wang tunai RM1,000 dan pakej berbulan madu dua hari satu malam di hotel berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1533
Kongsi :
Previous post CSR kembalikan senyuman
Next post 300 duta pelancongan Melaka dipilih sempena TMM2024
Ubah saiz-+=