TOK AJAK PUAS DAPAT BAWA ‘DUNIA’ KE MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

TELOK MAS 17 Ogos – Kejayaan Melaka dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 disifatkan sebagai antara pencapaian terbesar dalam sejarah industri pelancongan negeri, sekali gus membuktikan pengiktirafan dunia terhadap kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pemilihan itu bukan sahaja mengangkat nama Melaka di persada dunia, malah membuka ruang lebih luas untuk mempromosikan keunikan negeri bersejarah itu di mata dunia.

Menurut beliau, penganjuran sambutan berprestij yang berlangsung pada 27 September 2025 itu menjadi bukti keberkesanan usaha promosi pelancongan yang dilaksanakan secara berterusan di dalam dan luar negara.

“Kalau bercakap mengenai pencapaian sektor pelancongan Melaka, antara yang paling membanggakan adalah apabila kita diberi kepercayaan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dan Kerajaan Persekutuan untuk menjadi hos sambutan Hari Pelancongan Sedunia.

“Bukan semua negara atau bandar diberi peluang seperti ini. Jadi, saya melihat ia sebagai satu pencapaian besar hasil usaha berterusan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam mempromosikan Melaka di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.

Beliau yang mesra dengan panggilan Tok Ajak berkata, program berkenaan berjaya menghimpunkan wakil daripada 159 negara, sekali gus menjadikan Melaka tumpuan komuniti pelancongan dunia.

Katanya, kehadiran delegasi antarabangsa memberi peluang kepada mereka untuk melihat sendiri keunikan Melaka yang bukan sahaja terkenal sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO, malah kaya dengan elemen seni, budaya dan warisan yang sukar ditemui di destinasi lain.

“Ada yang memperlekeh kononnya bukan semua menteri datang ke acara itu, tapi perlu saya jelaskan bahawa semua negara hadir dan membawa wakil serta orang penting mereka dalam industri pelancongan.

“Lebih penting, mereka melihat sendiri keindahan dan keunikan Melaka, selain turut kagum dengan kekayaan seni, budaya dan warisan yang menjadi identiti negeri ini,” katanya.

Tambah Abdul Razak, impak penganjuran Hari Pelancongan Sedunia tidak terhenti selepas program berkenaan berakhir.

Bahkan, sebulan selepas acara itu, Melaka telah menerima kunjungan 25 ejen pelancongan dari Eropah bagi menyertai lawatan suai kenal (fam trip) untuk meninjau produk dan destinasi pelancongan yang boleh dipromosikan di negara masing-masing.

“Ini menunjukkan program yang kita anjurkan bukan sekadar acara sehari, tetapi memberi kesan jangka panjang kepada industri pelancongan negeri,” katanya.

Beliau berkata, sektor pelancongan bukan sekadar menyumbang kepada hasil Kerajaan Negeri, bahkan memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada rakyat menerusi konsep ‘people economy’.

Katanya, setiap pelancong yang datang akan menginap di hotel, membeli produk tempatan, menikmati makanan serta berbelanja di premis perniagaan yang secara tidak langsung menjana pendapatan kepada komuniti setempat.

“Sebab itu kita sentiasa menganjurkan pelbagai program, persembahan seni, aktiviti kebudayaan dan acara pelancongan hampir setiap minggu kerana ia mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang dan berbelanja di Melaka,” katanya.

Malah katanya, kemeriahan sektor pelancongan di Melaka kini bukan lagi hanya tertumpu di Banda Hilir sahaja, bahkan ia telah diperluaskan di kesemua tiga daerah dalam negeri ini, sekali gus terus memacu ekonomi negeri dan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

260
Kongsi :
Previous post DUN KUALA LINGGI RAIKAN ATLET SUKAN MELAKA