
INKLUSIVITI DESA FELDA HUTAN PERCHA PUKAU DELEGASI 18 NEGARA
BANDA HILIR 17 Ogos – Pengalaman tinggal bersama masyarakat Felda Hutan Percha memberi kesan mendalam kepada 20 peserta dari 18 negara apabila komuniti desa itu disifatkan sebagai gambaran sebenar konsep inklusiviti yang boleh diterapkan di negara masing-masing.
Wakil Delegasi Liberia, Peter V. Ciapha Jr. berkata, pengalaman berkenaan bukan sekadar memperkenalkan budaya dan kehidupan masyarakat luar bandar Malaysia, malah memperlihatkan bagaimana kepelbagaian agama, kaum dan latar belakang dapat disatukan menerusi semangat kemasyarakatan serta pembangunan bersama.
Katanya, sepanjang mengikuti program berkenaan, peserta berpeluang duduk semeja, menikmati makanan bersama, menelusuri kehidupan masyarakat desa serta berkongsi matlamat meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar.
“Pengalaman berada di Felda Hutan Percha memberikan gambaran bahawa konsep inklusiviti tidak semestinya bermula dengan dasar atau program berskala besar, sebaliknya boleh diterjemahkan melalui keterbukaan masyarakat menerima tetamu dan berkongsi kehidupan seharian.
“Kepada penduduk Felda Hutan Percha di Melaka, kami amat terhutang budi yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Anda membuka rumah kepada orang yang tidak dikenali dan dalam masa beberapa jam membuatkan kami berasa seperti keluarga.
“Pengalaman pagi dan petang yang kami lalui di kampung ini akan kekal dalam hati sebagai simbol sebenar inklusiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan mewakili 20 peserta daripada 18 negara pada Majlis Penutupan Program Latihan Antarabangsa βThe Inclusive Rural and Regional Development in Malaysiaβ di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Peter berkata, peserta turut melihat persamaan antara negara yang terlibat termasuk dari aspek sumber semula jadi, pertanian, tanaman getah dan kelapa sawit, makanan, bahasa, komuniti serta cabaran pembangunan masyarakat luar bandar.
Menurutnya, kepelbagaian agama dan budaya dalam kalangan peserta sepanjang program turut membuktikan bahawa perbezaan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama, sebaliknya boleh menjadi kekuatan dalam mencapai matlamat pembangunan bersama.
“Peserta Hindu, Buddha, Islam dan Kristian duduk di meja yang sama, menikmati makanan yang sama, berjalan di kawasan pertanian yang sama dan mengejar matlamat sama iaitu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,β katanya.
Program latihan antarabangsa berkenaan dianjurkan African-Asian Rural Development Organization (AARDO) dengan kerjasama Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memberi peluang kepada negara anggota berkongsi pengalaman serta amalan terbaik pembangunan luar bandar Malaysia.
Program berkenaan berlangsung di Putrajaya dan Melaka pada 5 hingga 17 Ogos 2026.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

