
FELDA HUTAN PERCHA JADI MODEL DESA DI PENTAS ANTARABANGSA – KKDW
BANDA HILIR 17 Ogos – Felda Hutan Percha dipilih sebagai model komuniti luar bandar Malaysia untuk dipelajari 20 peserta dari 18 negara anggota African-Asian Rural Development Organization (AARDO) menerusi Program Latihan Antarabangsa ‘The Inclusive Rural and Regional Development in Malaysia’.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan kekuatan Felda Hutan Percha sebagai contoh pembangunan desa yang inklusif dan berteraskan penyertaan komuniti.
Katanya, keunikan kawasan berkenaan turut terserlah menerusi kepelbagaian masyarakat yang menghimpunkan komuniti Melayu, Cina, India dan Orang Asli dalam sebuah penempatan yang berkembang melalui kesepakatan serta penyertaan penduduk.
“Pemilihan Felda Hutan Percha turut mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai lokasi pembelajaran luar bandar bertaraf antarabangsa, apatah lagi kawasan ini sebelum ini turut menjadi ‘kelas desa’ kepada peserta yang berpeluang menyelami kehidupan, budaya dan pendekatan pembangunan masyarakat setempat.
“Kampung ini mempunyai kepelbagaian komuniti serta pelbagai aktiviti ekonomi dan pelancongan turut mempunyai rekod pengiktirafan termasuk Anugerah Desa MADANI Negeri Melaka, selain terus memperkukuh produk komuniti sebagai tarikan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Latihan Antarabangsa ‘The Inclusive Rural and Regional Development in Malaysia’ di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Abdul Kahar berkata, pengalaman lima hari peserta mengikuti program di Felda Hutan Percha memberi peluang kepada mereka memahami sendiri kehidupan masyarakat desa termasuk adat, tradisi, budaya serta peranan komuniti dalam pembangunan setempat.
Jelasnya, pendekatan berkenaan penting kerana pembangunan luar bandar tidak seharusnya hanya diukur melalui pembinaan infrastruktur, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada usaha memperkasa manusia, mewujudkan peluang ekonomi dan membina komuniti yang berdaya tahan.
“Peserta perlu pulang bukan hanya dengan ilmu yang diperoleh, tetapi kefahaman lebih mendalam mengenai masyarakat kerana pembangunan luar bandar bukan mengenai membangunkan tempat, tetapi memperkasa manusia.
“Apabila kita benar-benar memahami masyarakat, kita berada pada kedudukan lebih baik untuk membina masa depan luar bandar yang lebih makmur, inklusif, berdaya tahan dan mampan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

