MPHTJ ‘HIDUPKAN’ ASET, BAWA NILAI EKONOMI UNTUK RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mahu mengoptimumkan aset miliknya yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya supaya dapat menjana pulangan serta memberi manfaat semula kepada masyarakat.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, langkah itu penting bagi memastikan aset seperti bangunan, pasar, dataran, kawasan rekreasi, medan selera dan ruang awam tidak dibiarkan tanpa dimanfaatkan secara optimum.

Menurutnya, setiap aset perlu dinilai dari segi potensi untuk dibangunkan atau dimanfaatkan dengan pendekatan lebih kreatif dan berkesan supaya mampu memberi nilai ekonomi serta sosial kepada masyarakat.

“Jangan sesekali membiarkan aset yang sepatutnya menjana nilai terus menjadi liabiliti (beban). Hidupkan ruang itu, bangunkan potensinya dan pastikan pulangan yang diperoleh dapat digunakan semula untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ bagi Ogos 2026 anjuran Jabatan Korporat Pembangunan Masyarakat dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat MPHTJ di Melaka Mall, di sini, Rabu lalu.

Sapiah berkata, Tapak Pinggiran Sungai MITC di Ayer Keroh antara contoh kejayaan mengoptimumkan ruang yang sebelum ini hanya digunakan sebagai kawasan parkir dengan khemah kecil penjaja.

Katanya, kawasan berkenaan kini berjaya diubah menjadi ruang niaga yang lebih tersusun, selesa dan kondusif untuk dimanfaatkan peniaga serta pengunjung.

“Pendekatan begini perlu diteruskan dengan mengenal pasti potensi setiap aset yang ada supaya ia bukan sahaja memberi nilai ekonomi, malah manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.

“Kita perlu melihat aset yang ada dengan perspektif lebih luas dan mencari kaedah terbaik untuk menghidupkan ruang berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Sapiah berkata, setiap pencapaian dan pengiktirafan yang diterima MPHTJ tidak seharusnya menyebabkan warga kerja berasa selesa atau berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.

Sebaliknya, katanya, setiap pengiktirafan perlu dijadikan pemangkin untuk menilai semula pencapaian selain mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Sejajar dengan itu, saya sangat berharap kita semua terus fokus dengan perancangan yang telah dirancang sehingga penghujung tahun 2026.

“Kita perlu memastikan segala perancangan yang dibuat bukan sekadar tercatat di atas kertas, sebaliknya dilaksanakan dengan berkesan dan memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post WRUR AYER LIMAU BAWA 100 PROGRAM, SEMUA LAPISAN RAKYAT DISANTUNI
Next post FELDA HUTAN PERCHA JADI MODEL DESA DI PENTAS ANTARABANGSA – KKDW