Cuaca buruk berterusan hingga esok, Melaka dan lima negeri berdepan kemungkinan banjir

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dijangka berlaku di Terengganu dan beberapa daerah di Kelantan hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan daerah terlibat di Kelantan ialah di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.

Manakala hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan hingga esok.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Pahang dan Perak sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku.

JPS menerusi kenyataan hari ini menyebut ia berdasarkan makluman ramalan hujan oleh MetMalaysia, sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS.

Di Johor, kawasan berisiko ialah Mukim Api-Api, Mukim Ayer Baloi, Mukim Ayer Masin, Mukim Benut, Mukim Pontian, Mukim Rimba Terjun, Mukim Sungai Pinggan di daerah Pontian serta kawasan sekitarnya manakala di Negeri Sembilan, kawasan dijangka terlibat ialah Port Dickson (Pekan Lukut, Pekan Jemima, Mukim Si Rusa, Mukim Jimah serta kawasan sekitarnya).

Di Selangor, kawasan terlibat termasuk daerah Sepang (Mukim Sepang, Mukim Dengkil serta kawasan sekitarnya) dan Petaling (Pekan Batu Tiga, Bandar Shah Alam serta kawasan sekitarnya); daerah Kuantan (Bandar Kuantan, Mukim Kuala Kuantan, Mukim Sungai Karang dan kawasan sekitarnya), Lipis (Mukim Telang serta kawasan sekitarnya) dan Jerantut (Mukim Pulau Tawar, Mukim Hulu Cheka serta kawasan sekitarnya) di Pahang.

Di Perak kawasan berisiko termasuk daerah Larut, Matang dan Selama (Mukim Bukit Gantang, Mukim Sungai Limau, Mukim Pengkalan Aor, Mukim Jebong, Mukim Asam Kumbang serta kawasan sekitarnya) dan Kerian (Mukim Bagan Serai, Mukim Gunong Semanggol, Mukim Beriah, Mukim Kuala Kurau, Mukim Parit Buntar serta kawasan sekitarnya).

“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu. — BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8314
Kongsi :
Previous post Elak babi melintas, kereta terbabas tembus besi penghadang jalan
Next post Sidang DUN: Melaka bentang Bajet 2023 hari ini
Ubah saiz-+=