Elak babi melintas, kereta terbabas tembus besi penghadang jalan

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

ALOR GAJAH 11 Disember – Berpantang maut sebelum ajal. Itu gambaran nasib lima mangsa yang terselamat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Melaka Pindah, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, kesemua lima mangsa yang merupakan pemandu dan penumpang kereta jenis Proton Preve hanya mengalami kecederaan ringan meskipun kereta dinaiki remuk teruk dan menembusi besi penghadang jalan.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu, insiden itu berlaku ketika kesemua mangsa sedang dalam perjalanan menghala ke Krubong dari arah Simpang Ampat.

Ketika sampai di lokasi, pemandu ternampak seekor haiwan dipercayai babi melintas lalu menekan brek.

Namun, disebabkan permukaan jalan yang basah, kereta itu dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tiang elektrik dan besi penghadang jalan lalu masuk ke dalam longkang.

“Kesemua penumpang dan pemandu telah selamat dikeluarkan oleh pihak bomba dan di bawa ke Hospital Alor Gajah menaiki ambulan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

“Pada jam 6.25 petang hari yang sama, pemandu telah hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk membuat laporan dan kenderaan telah diserahkan kepada pemilik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4351
Kongsi :
Previous post ‘Ingat dah putus….’
Next post Cuaca buruk berterusan hingga esok, Melaka dan lima negeri berdepan kemungkinan banjir
Ubah saiz-+=