Cubaan seludup diesel hampir RM350,000 gagal

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 27 September – Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan diesel hampir RM350,000, di kawasan perindustrian Bukit Rambai, petang semalam.

Serbuan kira-kira jam 2 petang itu, hasil daripada intipan dan risikan dijalankan Batalion 6 PGA selepas disyaki berlaku kegiatan haram di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semasa serbuan dijalankan didapati terdapat tiga lelaki sedang memindahkan minyak diesel dari sebuah lori ke dalam tangki besi di premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke dalam lori terbabit kemudian menemui 3,000 liter minyak diesel, satu unit tangki besi dan satu unit pam.

“Hasil pemeriksaan didalam premis kemudian menjumpai beberapa lagi peralatan dan 33,000 liter bersubsidi yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM346,600,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket mendapati mereka akan membeli minyak diesel bersubsidi daripada stesen minyak di sekitar Melaka.

“Diesel yang diperoleh itu kemudian akan dijual dipasaran industri dengan harga yang lebih tinggi untuk mengaut keuntungan.

“Selain rampasan tiga lelaki berusia 31 hingga 55 tahun turut ditahan. Mereka membabitkan dua penjaga stor serta pemandu lori,” katanya.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, dengan tangkapan itu ia berjaya memutuskan satu daripada aktiviti sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di negeri ini.

“Kesemua suspek kini ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2365
Kongsi :
Previous post Kes culik: Melaka bakal bermesyuarat, tingkat keselamatan di sekolah
Next post Perpustakaan Melaka bergerak seiring IR 4.0 untuk kekal relevan
Ubah saiz-+=