Kes culik: Melaka bakal bermesyuarat, tingkat keselamatan di sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BANDAR MELAKA 27 September – Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka sebagai langkah berjaga-jaga dalam kes penculikan melibatkan murid dan pelajar yang semakin menjadi bualan sejak akhir-akhir ini.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, meskipun tiada laporan mengenai kes penculikan dilaporkan setakat ini, namun insiden yang berlaku di negeri lain perlu dipandang serius.

Menurutnya, selain peranan daripada pihak sekolah, pemantauan berterusan daripada ibu bapa di luar pagar sekolah juga berupaya membendung kes ini.

“Saya sebenarnya amat bersimpati dengan apa yang berlaku di negeri-negeri lain tetapi untuk peringkat Kerajaan Negeri Melaka kita akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelakkan insiden ini.

“Bagaimanapun, saya ingin tegaskan di sini bahawa pemantauan ibu bapa juga perlu khususnya sebelum hantar dan mengambil anak-anak di sekolah.

“Pada mesyuarat minggu hadapan, saya akan beritahu pihak jabatan agar membuat suatu penyelarasan tindakan kepada seluruh warga sekolah termasuk pihak ibu bapa dan guru (PIBG) contohnya aspek kawalan pintu, sama ada perlu buka satu pintu keluar masuk pelajar sahaja atau sebaliknya. Itu perlu persetujuan dengan PIBG,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di Jalan Hang Tuah, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian murid sekolah rendah hampir menjadi mangsa culik dua individu di hadapan sebuah sekolah di Gua Musang, Kelantan baru baru ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2787
Kongsi :
Previous post Bajet 2023: Melaka harap pelancongan, naik taraf infrastruktur diberi keutamaan
Next post Cubaan seludup diesel hampir RM350,000 gagal
Ubah saiz-+=