Daerah Masjid Tanah fokus utama BN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

LENDU 8 Nov. – Misi pembentukan Masjid Tanah sebagai sebuah daerah akan menjadi sasaran utama Barisan Nasional (BN) bagi memperhebatkan pembangunan kawasan tersebut.

Ketua Menteri Melaka yang juga Calon BN Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia juga akan dibangunkan dengan pelbagai pembangunan lain termasuk jalan perhubungan antara daerah dan kampung bagi memudahkan jaringan masyarakat di kawasan terbabit.

“Kalau diberikan mandat kepada BN saya yakin kita banyak perancangan yang dirancangkan sejajar dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035.

“Menambah lagi satu pusat pengajian tinggi di Melaka dan perkara lain iaitu pembangunan jaringan jalan raya dari satu daerah ke daerah, kampung ke kampung juga akan dibangunkan dan dalam perancangan kita.

“Dari sudut belia pun sudah ada perancangannya termasuklah memperkasakan dalam bidang e-sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas proses penamaan calon diadakan di Dewan Kompleks Japerun Lendu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, saingan tiga penjuru disifatkan sebagai saingan positif pilihan raya kali ini.

“Proses penamaan calon kali ini berjalan lancar dan tiada sebarang kertas kertas yang dipanggil semula untuk disemak,

“Jadi DUN (Dewan Undangan Negeri ) Lendu (kali ini) tiga penjuru seperti mana kita jangkakan dan saya sempat bersama dua calon lain tadi dan mohon kita berkempen dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Yang boleh hari ini ialah kempen secara maya jadi kita minta perhebatkan dan menguatkan lagi unit-unit media di bawah BN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

455
Kongsi :
Previous post Akar umbi PKR mahu Ginie Lim bertanding di Machap Jaya
Next post Pertembungan tiga penjuru DUN Tanjung Bidara
Ubah saiz-+=