Akar umbi PKR mahu Ginie Lim bertanding di Machap Jaya

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

MACHAP JAYA 8 Nov – Akar umbi PKR di Machap Jaya tidak berpuas hati dengan pencalonan Pakatan Harapan (PH) di kawasan itu dan menggesa kepimpinan parti menarik keputusan menggugurkan penyandangnya, Ginie Lim di kawasan itu.

Memetik laporan Malaysiakini, ketua-ketua ranting dalam kawasan DUN Machap Jaya menolak pencalonan Lau Beng Hau sebagai calon pilihan raya N.08.

Dakwa mereka, pencalonan Beng Hau bukanlah calon berpotensi untuk menang dan kehadirannya tidak diterima di kawasan itu.

“Dia tidak mempunyai sokongan dan jentera untuk berdepan dengan calon-calon pihak lawan serta kehadiran beliau ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya hanyalah untuk memecah belahkan sokongan dan kerjasama kami dengan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ginie Lim Siew Lin,” kata kesemua lapan ketua ranting dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas pemimpin akar umbi Machap Jaya mengadakan mesyuarat malam tadi.

Mengulas lanjut, Ketua-ketua ranting PKR Machap Jaya berkata mereka kecewa kerana kepimpinan pusat gagal mendengar suara akar umbi.

“Kami merayu kepada Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai presiden PKR dan Pengerusi Majlis Presiden PH agar mempertimbang serta memperhalusi kembali calon bagi N.08 Machap Jaya.

“Kami amat yakin sekiranya Lim dicalonkan kembali, kerusi DUN Machap Jaya dapat dikekalkan kemenangannya dan PH akan dapat membentuk kembali kerajaan negeri setelah dikhianati,” katanya.

Sebelum pengundian berlangsung di DUN Melaka, Lim dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia) pada 2019 meninggalkan Dewan, menyebabkan PH gagal mendapat majoriti untuk meluluskan pencalonan Ketua PKR Melaka, Datuk Halim Bachik sebagai enator ke Dewan Negara.

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan langkah itu sebagai “tidak boleh diterima” dan memanggil mereka untuk berbincang.

Jailani kemudiannya membantu menjatuhkan kerajaan PH untuk membentuk pentadbiran baru Umno-Bersatu.

Dia akan dipertaruhkan di DUN Rembia oleh UMNO, setelah memenangi kerusi itu di bawah PKR sebelum ini manakala Beng Hau tetap dengan PH tetapi diketepikan dalam pencalonan.

Sementara itu, Lim dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada pengundi kawasan pilihan rayanya.

“Sejak pemilihan pertama saya pada 2008 hingga sekarang, penduduk Machap telah membimbing saya, mengasuh saya dan memberi peluang kepada saya pada 2018 untuk menggalas tanggungjawab berat sebagai wakil rakyat.

“Kata-kata sahaja tidak dapat menyatakan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada pengundi saya. Rasa kasih saya kepada Melaka tidak akan luntur,” katanya.

“Walaupun saya kesal tidak dapat bertanding kali ini, saya tetap berpegang pada prinsip saya, mereformasi sistem politik, dan meneruskan kempen untuk PH dalam PRN Melaka akan datang – api Reformasi ini tidak akan pernah padam,” katanya. .

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1530
Kongsi :
Previous post Penamaan calon DUN Pantai Kundor beralih di luar dewan
Next post Daerah Masjid Tanah fokus utama BN
Ubah saiz-+=