‘Dah boleh bina rumah atas tanah sendiri’

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

REMBIA 7 Februari – “Alhamdulillah, selepas lebih kurang lima tahun menanti akhirnya kami sekeluarga kini sah memiliki sebidang tanah di kampung.

“Ribuan terima kasih kami ucapkan kepada Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan perkara ini. Sudah bertahun-tahun kami menunggu akhirnya berjaya diselesaikan,” kata Saepah Husen, 79, seorang daripada pemohon yang menerima surat kelulusan tanah kerajaan di atas Rizab Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Melaka Pindah.

Katanya, kelulusan beserta Notis 5A diterima membolehkan dia menyambung perancangan membina sebuah kediaman impian bagi memberikan keselesaan kepada anak-anaknya selepas ini.

Terdahulu seramai 96 pemohon di Melaka Pindah menerima kelulusan tersebut yang disampaikan sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (Notis 5A) (Rizab Keretapi) Mukim Melaka Pindah Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Melaka, Datuk Noraini Tawel serta Pegawai Daerah Alor Gajah, Sabrina Thalas.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Muslihah Norzaman, 34, meluahkan rasa syukurnya selepas menerima kelulusan tanah tersebut.

“Sejak 2019 saya memohon dan terpaksa berdepan pelbagai kekangan bagi mendapatkan kelulusan daripada pihak berkenaan.

“Alhamdulillah terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri yang banyak membantu menoktahkan penantian ini. Sekarang barulah bolah kami anak beranak merancang apa akan dilakukan atas tanah ini nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

870
Kongsi :
Previous post 96 pemohon terima Notis 5A
Next post Pakej ke Taman Laut serendah RM60 seorang
Ubah saiz-+=