Dana saham wakaf bina Masjid Pulau Besar

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDAR HILIR 10 Mac – Lebih RM1.6 juta dana saham wakaf bagi pembinaan Masjid Pulau Besar, berjaya dikumpul menerusi sumbangan pelbagai pihak, sehingga kini.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah berkata, masjid yang akan dibina di tapak berkeluasan 2.052 ekar milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu dianggarkan menelan kos RM63 juta.

Jelasnya, sebahagian kos pembinaan akan dibiayai menggunakan peruntukan daripada orang ramai menerusi kutipan saham wakaf yang diuruskan oleh MAIM.

“Sehingga kini jumlah dana saham wakaf Masjid Pulau Besar yang berjaya dikumpul hasil sumbangan pelbagai agensi termasuk syarikat korporat dan orang perseorangan berjumlah RM1,696,131.38.

“Terdahulu majlis perlancaran saham wakaf pembinaan masjid ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada 19 Oktober lalu dan diharap lebih banyak pihak akan tampil berwakaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi MAIM pada Majlis Makan Malam Amal Pengumpulan Saham Wakaf Pembinaan Masjid Pulau Besar, di sini, semalam.

Majlis makan malam itu disempurnakan Tun Dr. Mohd Ali dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Menurut Rosli, apabila siap kelak masjid yang mampu memuatkan sehingga 1,500 jemaah itu akan menjadi mercu tanda baharu pelancongan berasaskan Islam di Melaka sesuai dengan status sejarahnya pernah dikenali sebagai Pusat Penyebaran Islam Nusantara suatu ketika dulu.

“Selain dewan solat, masjid itu nanti akan dilengkapi dengan fasiliti lain antaranya 10 menara, kafetaria, dek tinjau, dewan peninjau, enam unit kiosk dan empat menara payung mekanikal,” katanya.

Jelasnya, bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam berwakaf, MAIM turut menyediakan kaedah Wakaf Tunai selain melancarkan portal iwakaf.maim.gov.my.

“Kaedah berwakaf menggunakan wang tunai adalah diharuskan selain matlamat utamanya adalah untuk memberi kemudahan kepada pewakaf untuk menginfaqkan harta mengikut kemampuan,” katanya.

Terdahulu, Majlis Makan Malam Amal Pengumpulan Saham Wakaf Pembinaan Masjid Pulau Besar berjaya mengumpul dana saham wakaf sebanyak RM274,500 apabila pelbagai pihak antaranya Lembaga Perumahan Melaka (LPM), syarikat korporat dan orang persendirian tampil berwakaf.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

551
Kongsi :
Previous post Penganjur bazar Ramadan dan Aidilfitri promosi TMM2024
Next post Capaian internet berkualiti untuk Kampung Bukit Apit
Ubah saiz-+=