IMAN parti pertama umum mungkin letak calon PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 9 Okt – Belum pun bermula ‘paluan’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebuah parti ‘underdog’ menawarkan diri untuk meletakkan calon sekali gus menjadi parti pertama mengumumkan bertanding.

Perkara itu disahkan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun secara dasarnya IMAN berharap kemelut politik Melaka tidak berakhir dengan PRN kerana negara masih dalam proses pemulihan pandemik COVID-19 selain khuatir berulangnya kes seperti PRN Sabah, namun kelangsungan demokrasi juga perlu diambil kira.

“Setakat ini, memang kita kalau boleh tidak mahu PRN diadakan, namun jika terpaksa IMAN tidak menolak kemungkinan turut meletakkan calon bertanding.

“Ini kerana, penerimaan kami di Melaka yang mempunyai kira-kira 3,000 ahli juga baik dan yakin PRN Melaka boleh menjadi ‘penjuru’ yang baik untuk menampilkan buat pertama kali parti minoriti ini dalam pilihan raya.

“Kami juga sedang menungggu permohonan untuk menyertai blok kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) namun sehingga kini, kami masih bergerak sebagai parti bebas,” katanya.

Menurut Mohammed Mosin, IMAN sebelum ini dikenali Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PIBM) yang ditubuhkan pada 2019 bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim.

Langkah itu katanya, bertitik tolak daripada kekecewaan masyarakat itu bahawa tiada parti untuk membela nasib mereka dengan sebenar-benarnya.

Namun pada September tahun lalu, PIBM meminda perlembagaan parti dengan menukar nama kepada Parti Perikatan India Muslim Nasional atau IMAN.

Parti itu kini memiliki lebih 13,000 ahli di seluruh negara kecuali Sarawak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2226
Kongsi :
Previous post Kira-kira 25,000 sertai Hari Sukan Negara di Melaka
Next post Zoo Melaka catat 10 peratus tambahan haiwan
Ubah saiz-+=