DATUK REMY SEDIA BANTU PROMOSI MASJID TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 15 September – Pelakon popular, Datuk Mohamad Zalimei Ishak atau lebih dikenali sebagai Remy Ishak sedia membantu dalam mempromosikan produk pelancongan di kampung kelahirannya.

Beliau yang merupakan anak jati Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah menyanjung tinggi usaha dilakukan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu mengembalikan kegemilangan Pantai Tanjung Bidara.

Remy mengakui sewaktu kecil, Pantai Tanjung Bidara merupakan lokasi yang cukup meriah dan sering dikunjungi orang ramai untuk bersantai dan mandi-manda, namun tahun berganti tahun, pantai peranginan itu mulai sepi.

“Pantai ini kurang mendapat sambutan apabila orang ramai mula beralih ke Pengkalan Balak dan alhamdulillah apabila dianjurkan Pesta Pantai Tanjung Bidara, kawasan ini kembali meriah seperti suatu ketika dahulu apabila mendapat sambutan cukup hebat daripada penduduk dan rakyat Melaka.

“Saya amat memberi sokongan kepada usaha yang dilakukan Ketua Menteri untuk menaikkan kembali nama pantai ini dan sebagai anak jati Masjid Tanah saya sedia membantu dalam mempromosikan lokasi pelancongan di kawasan ini dan Negeri Melaka amnya.

“Saya berharap pesta pantai ini akan terus dianjurkan pada setiap tahun untuk membolehkan orang ramai menikmati pelbagai tarikan yang ada di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Remy yang popular dengan filem Cun dan Anak Halal memaklumkan dirinya sedang sibuk menjalani pengambaran beberapa drama dan filem sepanjang tahun ini.

Pada masa sama, beliau memberi bayangan akan terlibat dalam satu projek untuk mempromosikan Masjid Tanah tidak lama lagi.

Pada pesta tersebut, Remy turut bersama ribuan peserta menyertai Aerobikton Fit Malaysia Negeri Melaka 2024, selain acara sukan pantai yang disediakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6487
Kongsi :
Previous post PAGI BERDARAH
Next post 100 PESERTA ‘ENDUROCROSS’ BERKAMPUNG DI MASJID TANAH
Ubah saiz-+=