Sorting by

×

Dilema mengembalikan warisan dan mengekalkan nama

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

UMUM mengetahui, terdapat cadangan atau kempen menukarkan nama Bukit St Paul kepada nama asalnya iaitu Bukit Melaka serta George Town (Pulau Pinang) kepada Tanjung Penaga.

Jika dikaji secara khusus, nama asal kedua-dua kawasan tersebut mampu mengangkat kembali martabat warisan sejarah kawasan terbabit serta negara amnya, namun dari sudut pihak lain pula, nama seperti St Paul itu mempunyai simboliknya yang tersendiri buat sesetengah kelompok masyarakat negara ini.

Adakah akan timbulnya soal dilema dalam hal ini? Mungkin ya, mungkin juga tidak kerana ia bergantung kepada rasionalisasi kepada corak pemikiran kita sendiri.

KENALI SEJARAH

Secara asasnya, kita perlu menyelami sejarah ‘Bumi’ Malaysia terlebih dahulu kerana setiap fahaman serta data sahih sesebuah sejarah itu adalah asas kepada ‘tiang’ rasional minda kita sebagai rakyat negara tercinta ini.

Tanpa sejarah, negara kita tidak akan terbina dengan sendirinya, malah tanpa sejarah juga, kita tidak akan belajar dari segala kesilapan lampau.

Namun, hari ini kita sendiri menjadi saksi kepada pelbagai pendapat, ada yang menyokong dan ada yang mahu mengekalkan nama sesuatu kawasan, walaupun dari segi fakta sejarah adalah kukuh.

‘KALAU PENJAJAH BOLEH, KENAPA KITA TIDAK BOLEH?’

Bagi salah seorang pelopor kepada kempen mengubah nama kawasan warisan yang juga pengkaji sejarah Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican dalam satu kenyataannya di portal The Malaysian Insight menjelaskan pihaknya hanya mahu menukar nama kawasan warisan mengikut fakta sejarah dan bukannya mahu merobohkan bangunan sedia ada, jadi tiada sebarang masalah.

“Penjajah dari Eropah datang jajah tanah air kita dan menukar nama Tg Penaga kepada George Town dan Bukit Melaka kepada Bukit St Paul.

“Kalau penjajah boleh, kenapa kita tidak boleh? Kami ingin tekankan bahawa kami tidak mahu merobohkan gereja di Bukit St Paul tetapi kami hanya mahukan nama asal kawasan terbabit dikembalikan semula,” katanya.

ISMA KETUAI KEMPEN BUKIT MELAKA

Bagi kempen menukar nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka, ianya diketuai oleh sayap pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Kempen tersebut akan dilancarkan secara rasmi pada Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos ini dan nama kempen tersebut ialah ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’.

Menariknya, kempen terbabit akan melakukan ‘roadshow’ di kawasan terpilih yang masih menggunakan nama dari zaman penjajah, sebagai usaha menamakan semula kawasan terbabit kepada nama asal.

SIGNIFIKAN NAMA ST PAUL BUAT KOMUNITI KATOLIK

Dari sisi lain pula, bagi pertubuhan Malacca Eurasian Portuguese Association pula berpendapat kempen penukaran nama tersebut dilihat sebagai percubaan untuk menafikan sejarah dan identiti mereka.

Di sebalik melihat St Paul sebagai simbol penaklukan, mercu tanda tersebut boleh dilihat sebagai tanda kepelbagaian etnik di Malaysia.

“Elemen kolonial sekarang adalah sebahagian daripada sejarah kita. Hanya kerana kita menukar nama tempat itu, ia tidak bermakna sejarah itu tidak berlaku.

“Bukit St Paul dikenali seluruh dunia malah terpahat sebagai destinasi yang popular. Di Melaka kita mempunyai bangsa Melayu, Cina, India dan mereka yang berketurunan Portugis serta Belanda.

“Nama bukit itu sendiri tidak akan memadam sejarah komuniti lain terutamanya Melayu,” jelas pertubuhan tersebut.

Menurut mereka juga, nama Bukit St Paul adalah siginifikan buat komuniti Katolik tempatan.

Views:

390
Kongsi :
Previous post Nilai moratorium dianggarkan RM74.3 bilion setakat 14 Ogos
Next post Pandemik COVID-19 serlah kebaikan rakyat Malaysia
Ubah saiz-+=