Dinosaur Encounter tarik 1,000 pengunjung dalam tempoh sejam

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 25 Dis. – Pembukaan hari pertama Dinosaur Encounter di Zoo Melaka berjaya menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar Melaka.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata perkara itu boleh dibuktikan apabila pihaknya menerima kira-kira 1,000 pengunjung hanya dalam tempoh sejam apabila Zoo Melaka mula dibuka pada jam 9 pagi, hari ini.

Justeru, pihaknya menjangkakan lebih 10,000 pengunjung akan terus membanjiri Zoo Melaka pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bagi menyaksikan sendiri tarikan terbaharu yang telah disediakan.

“Sebenarnya, bukan sahaja Donosaur Encounter, kita juga baru sahaja memperkenalkan International Bird Show dalam Zoo Melaka ini. Tujuan kita memperkenalkan dua produk baharu ini adalah untuk menjadikan Zoo Melaka sebagai ‘educational park’.

“Contohnya, kanak-kanak boleh mengenali haiwan pra sejarah yang mana kita menempatkan 100 spesies dinosour di sini dan dalam pertunjukan burung pula mereka disajikan dengan pelbagai persembahan burung serta pada masa sama boleh mengenali haiwan-haiwan yang ada.

“Daripada dua tarikan terbaharu ini ia terbukti memberi kesan positif apabila saya dimaklumkan pada jam 10 pagi tadi, sudah hampir 1,000 pengunjung datang ke sini. Jadi, saya yakin kita akan menerima lebih 10,000 pengunjung pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di tapak Dinosaur Encounter di Zoo Melaka.

Dalam pada itu, Shadan memaklumkan pihak Zoo Melaka masih menitik beratkan aspek prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan pengunjung.

Jelasnya, antara SOP yang dititik beratkan ialah penjarakan fizikal dalam kalangan pengunjung yang mana pihaknya telah menyediakan petak khas di setiap kawasan tumpuan bagi mengelakkan pengunjung berkumpul beramai-ramai.

“Selain itu kita juga mewajibkan pemakaian pelitup muka dan menjalankan proses sanitasi setiap dua jam sekali,” katanya.

Views:

1524
Kongsi :
Previous post Tiada aduan isu kartel di Melaka – KPDNHEP
Next post Pandelela sambut Krismas di Melaka
Ubah saiz-+=