Tiada aduan isu kartel di Melaka – KPDNHEP

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka tidak menerima aduan berhubung isu penyeludupan daging import sejuk beku palsu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Wira Ismail Othman berkata, penyeludupan daging itu yang didakwa dikuasai kartel tidak direkodkan setakat hari ini.

“KPDNHEP sentiasa menyiasat dan membuat pantauan secara menyeluruh menangani isu penyeludupan daging itu.

“Sebab itu saya sarankan jangan beli barang-barang import, belilah barangan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Walkabout Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2020 di Pasaraya Aeon Bandaraya, hari ini.

Jelasnya, pemantauan secara agresif terus dilaksanakan di kesemua pasaraya serta pasar basah di negeri ini.

“Kita pantau setiap hari di pasaraya termasuk pasar besar Melaka Tengah, Pasar Jasin, Pasar Alor Gajah dan Pasar Borong.

“Semua laporan saya terima setiap hari, harga barangan dan bekalan juga masih mencukupi,” katanya lagi.

Terdahulu, Ismail berkata setakat ini tiada kompaun dikenakan terhadap mana-mana premis yang cuba menaikkan harga barangan terkawal pada musim perayaan.

“Hari keempat di Melaka kita tidak keluarkan sebarang kompaun, rata-rata mengikut harga ditetapkan sepanjang pelaksanan SHMMP 2020 ini,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Melaka, Muhammad Aizudin Mohd Said.

Views:

524
Kongsi :
Previous post Tan Sri Mohamad Aziz meninggal dunia
Next post Dinosaur Encounter tarik 1,000 pengunjung dalam tempoh sejam
Ubah saiz-+=