TVET 2.0 PERKUKUH BAKAT, KOMPETENSI TENAGA KERJA HINGGA 2035

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Kerajaan memperkukuh transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pembangunan TVET 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2035, dengan tumpuan kepada peningkatan kompetensi tenaga kerja dan penyediaan bakat yang memenuhi keperluan industri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangunan TVET 2.0 menjadi hala tuju baharu dalam memperkukuh ekosistem TVET negara supaya bakat tempatan kekal berdaya saing dalam ekonomi yang semakin dipacu teknologi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, empat siri sesi libat urus telah dilaksanakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Pahang, membabitkan 256 peserta bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

“Dapatan serta pandangan daripada pelbagai pemegang taruh kini sedang dimurnikan bagi memperkukuh dasar dan pelan pembangunan TVET yang lebih responsif terhadap keperluan industri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara Bil. 3/2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Dalam usaha memastikan latihan kemahiran lebih bersasar, beliau memaklumkan kerajaan turut memberi perhatian kepada cadangan pembangunan Indeks Kompetensi Nasional (NCI) yang dicadangkan diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi MyRIVET di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Ahmad Zahid berkata, indeks berkenaan dirangka untuk mengukur kompetensi tenaga kerja berdasarkan tiga dimensi utama, iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap.

“Pembangunan indeks ini merupakan langkah penting untuk mengenal pasti jurang kemahiran secara lebih sistematik, sekali gus memperkukuh perancangan latihan semula dan peningkatan kemahiran berdasarkan keperluan sebenar sektor industri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, usaha memperluas peluang peningkatan kemahiran rakyat turut diperkukuh melalui Model Pelaksanaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Kolej Komuniti.

Menurutnya, pendekatan itu memberi penekanan kepada pembelajaran fleksibel, penawaran kursus kemahiran serta kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kompetensi dan kebolehpasaran masyarakat, selain membuka peluang menjana pendapatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

17
Kongsi :
Previous post INISIATIF DAYA TAHAN KOMUNITI MBMB RAIH PENGIKTIRAFAN KEBANGSAAN