ISU MCA: ‘JANGAN BIMBANG, KITA CARI JALAN PENYELESAIAN’ – ZAMBRY

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TELOK MAS 26 Oktober – Barisan Nasional (BN) akan mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut membabitkan MCA susulan ketidakpuasan hati parti komponen itu berhubung pengumuman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Sabtu lalu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata sebarang masalah yang timbul dalam gabungan berkenaan perlu ditangani dengan mencari jalan penyelesaian.

“Ya, jangan bimbang. Dalam semangat BN, apabila kita ada masalah, kita cari jalan penyelesaian.

“Don’t worry (Jangan bimbang),” katanya ringkas ketika diminta mengulas isu membabitkan MCA.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)–Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prihatin @ Telok Mas di Masjid Al-Wathoni, Bukit Larang, di sini, malam ini.

Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bersama beberapa pemimpin parti itu bertindak meninggalkan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Sabtu lalu.

Tindakan itu susulan ketidakpuasan hati MCA terhadap pengagihan kerusi dan pengumuman calon yang didakwa dibuat tanpa rundingan serta persetujuan kepimpinan parti berkenaan.

Susulan perkembangan itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam memberi jaminan isu berkenaan akan dibincangkan dan diselesaikan secara bersama sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober ini.

Sementara itu, Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebelum ini memaklumkan beliau masih menunggu laporan lengkap berhubung tindakan kepimpinan MCA meninggalkan majlis pengumuman calon berkenaan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

181
Kongsi :
Previous post PROGRAM KEMASYARAKATAN MAHASISWA BUKAN HANYA KETIKA PILIHAN RAYA – ZAMBRY