
FESTIVAL PERTUKARAN BUDAYA HIMPUN ENAM NEGARA DI MELAKA, SASAR 30,000 PENGUNJUNG
MELAKA 26 Oktober – Melaka bakal menjadi tumpuan delegasi antarabangsa menerusi penganjuran Festival Pertukaran Budaya: Meraikan Warisan Silang Budaya 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November ini dengan sasaran kehadiran 30,000 pengunjung.
Pengurus Besar Tourism Melaka, Encik Nasrul Ahmad berkata, festival bertempat di pekarangan Muzium Istana Kesultanan Melaka dan lokasi warisan sekitarnya itu menghimpunkan penyertaan dari enam negara iaitu Brunei , China, Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia.
Menurutnya, program berkenaan adalah anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama strategik Kerajaan Negeri Melaka serta Pusat Latihan Antarabangsa Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di Rantau Asia Pasifik (CRIHAP) di bawah naungan UNESCO.
Beliau menjelaskan, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah amat bertepatan dengan sejarah negeri ini yang telah menjadi titik pertemuan masyarakat dan pedagang dari pelbagai pelosok dunia sejak berabad lamanya.
“Festival ini bukan sekadar acara persembahan kebudayaan, ia merupakan ruang untuk masyarakat tempatan dan delegasi antarabangsa mengenali persamaan dan keunikan warisan yang dikongsi merentasi sempadan negara,” katanya ketika ditemui selepas bersiaran langsung di Konti MelakaFM, di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai pengisian program, pelbagai aktiviti utama disediakan termasuk pameran dan bengkel antarabangsa seperti Upacara Wangkang, Pantun dan Kebaya, selain persembahan kesenian tradisional membabitkan Gamelan, Mek Mulung, Mak Yong serta Wayang Kulit.
“Turut memeriahkan festival adalah demonstrasi kemahiran kraf seperti pembuatan wau, kasut manik, serta Perarakan Warisan bermula dari kawasan Muzium Istana Kesultanan Melaka hingga ke Galeri Kota Warisan. Majlis Perasmian Pembukaan pula akan diadakan pada malam 31 Oktober,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Nasrul optimis sasaran 30,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran itu mampu dicapai memandangkan ia bertembung dengan hujung minggu penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka menarik kehadiran ramai orang luar ke negeri ini.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk hadir bersama keluarga dan menyemak atur cara rasmi melalui Facebook rasmi Tourism Melaka bagi mengetahui jadual aktiviti di lokasi yang berbeza.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

