
MESRA KEBAJIKAN: DI SEBALIK LAMPIN, TIN SUSU ADA KELEGAAN BUAT RAKYAT
AYER KEROH 26 Oktober – Kos mendapatkan susu khas dan lampin pakai buang yang mencecah ratusan ringgit menjadi beban buat keluarga yang menjaga warga emas, namun bantuan menerusi inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Kebajikan memberi kelegaan dalam menguruskan keperluan harian.
Penerima bantuan, Kamariah Abdullah, 67, berkata, bekalan susu khas dan lampin pakai buang yang diterima amat bermakna kerana kedua-dua keperluan itu memerlukan perbelanjaan tinggi sekiranya dibeli sendiri.
Katanya, bantuan berkenaan bukan sahaja mengurangkan kos keluarga, malah membolehkan mereka memberi tumpuan kepada keperluan penjagaan warga emas.
“Kalau hendak beli sendiri, harganya agak mahal dan satu tin susu boleh mencecah ratusan ringgit, begitu juga dengan lampin pakai buang.
“Jadi apabila menerima bantuan ini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan keluarga, terutamanya untuk keperluan penjagaan harian,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya di Tebong, Alor Gajah.
Menurutnya, bantuan susu khas dan lampin pakai buang itu diterima setiap tiga bulan, membabitkan sembilan tin susu serta bekalan lampin pakai buang.
Kamariah berkata, keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan golongan seperti dirinya membuatkan beliau berasa bersyukur kerana tidak perlu menanggung sepenuhnya kos mendapatkan bekalan berkenaan.
“Sebagai rakyat Melaka, saya rasa bertuah dan bersyukur kerana Kerajaan Negeri sentiasa cakna tentang keperluan golongan seperti kami ini,” katanya.
Sementara itu, anak kepada warga emas yang turut menerima manfaat menerusi MeSRa Kebajikan, K Maylee, 45, berkata, bantuan kebajikan yang disalurkan turut memberi kelegaan kepada keluarganya dalam menguruskan keperluan harian, khususnya berkaitan rawatan dan perubatan bapanya.
Menurutnya, bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diluluskan untuk tempoh setahun banyak membantu keluarga menampung kos rawatan serta keperluan perubatan bapanya.
“Bantuan kebajikan yang diterima memberi kelegaan kepada keluarga, terutama ketika berdepan keperluan perubatan dan perbelanjaan harian.
“Alhamdulillah, bantuan ini sangat membantu kami dalam menguruskan keperluan keluarga,” katanya.
Bagi keluarga berkenaan, bantuan kebajikan yang diterima bukan sekadar meringankan perbelanjaan, malah menjadi sokongan penting dalam memastikan keperluan penjagaan warga emas dapat diuruskan dengan lebih baik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

