KAMPUNG DIGITAL MELAKA BAKAL JADI RUJUKAN ASIA TENGGARA

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Oktober – Inovasi Kampung Digital Melaka yang mentransformasikan kampung tradisional dengan sistem alamat rumah berstruktur berpotensi menjadi rujukan rantau Asia Tenggara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu bukan sahaja menyelesaikan masalah alamat rumah tidak teratur, malah mampu mengubah landskap pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi pendigitalan setiap kediaman.

Beliau berkata, Melaka menjadi perintis dalam usaha mentransformasikan kampung tradisional menerusi pendekatan berkenaan yang dijangka menjadi model kepada negeri lain di Malaysia selain rantau Asia Tenggara.

“Tak ada negeri lain buat mentransformasikan kampung dan ia akan menjadi rujukan bukan saja di Malaysia, tapi di rantau Asia Tenggara, akan menggunakan kaedah Kampung Digital bermula daripada Kampung Pulau ini.

“Ia akan menjadi rujukan yang hebat dan kita bawa semula kehebatan ini, seperti hebatnya zaman keagungan Kerajaan Melayu Melaka dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Bakti Siswa Madani di Dewan Terbuka Kampung Pulau, Tanjung Bidara, di sini.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi; Rektor UiTM Cawangan Melaka Profesor Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, inovasi itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Melaka menerima anugerah Digital Community Innovation Excellence Award sempena persidangan Geospatial Intelligence Software Technology Conference (GISTC) International 2026 di Haikou, Hainan, China pada 19 Oktober 2026.

Beliau berkata, pelaksanaan Kampung Digital Melaka bermula di Kampung Pulau, Masjid Tanah dengan matlamat menyelesaikan masalah alamat kediaman yang tidak tersusun, khususnya di kampung tradisional yang mempunyai banyak rumah menggunakan alamat sama.

“Apa yang saya buat ialah saya mentransformasikan kampung-kampung tradisional dalam Melaka ini, yang tak dibuat di mana-mana dunia.

“Kampung saya ini menggunakan satu alamat, Batu 21, Kampung Pulau. Daripada satu jua kampung sampai sini alamatnya satu saja. Macam mana posmen hantar surat?

“Jadi, kita bangunkan inisiatif ini dalam memberikan satu sistem penyampaian dan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pendigitalan itu membabitkan penomboran kediaman berdasarkan kedudukan rumah di sepanjang laluan kampung bagi memudahkan pengenalpastian lokasi.

Menurutnya, rumah di sebelah kanan diberikan nombor genap, manakala kediaman di sebelah kiri menggunakan nombor ganjil bagi memastikan sistem alamat lebih teratur, selain semua kediaman juga diberikan kod respon pantas (QR) bagi memudahkan pengesanan alamat.

Inisiatif Kampung Digital Melaka dilaksanakan bagi mengatasi masalah ketiadaan alamat rumah yang jelas dan berstruktur, selain membolehkan setiap premis mempunyai kod QR yang memaparkan maklumat alamat, nombor kod unik, nombor lot serta lokasi kediaman.

Maklumat berkenaan boleh diakses menerusi portal Kampung Digital Melaka bagi memudahkan urusan pengurusan, penghantaran dan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

658
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA : AKMAL MAHU PENGUNDI MERLIMAU NILAI REKOD PRN LALU