PRN MELAKA: AZMAN SEDIA BAWA SUARA RAKYAT SERKAM

Masa Membaca:56 Saat

AYER KEROH 25 Oktober – Bertekad meneruskan usaha pembangunan dan memastikan kebajikan rakyat terus terbela, Datuk Azman Abdullah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Azman berkata, beliau akan menyambung usaha yang belum dapat dilaksanakan sebelum ini, selain berusaha memenuhi keperluan penduduk sekiranya diberi mandat.

“Yang penting bagi saya, rakyat terjaga, rakyat terbela dan seterusnya apa yang rakyat mahu, insya-Allah kita cuba tunaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas pemilihannya sebagai calon muka baharu, Azman mengakui terkejut apabila namanya diumumkan kerana tidak menyangka dipilih mewakili BN di DUN berkenaan.

“Saya terperanjat sebenarnya. Saya tidak tahu pula yang saya dicalonkan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas pencalonannya bagi mewakili BN di kawasan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

810
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: TUMINAH IKRAR BERIKAN KHIDMAT TERBAIK, MAHU PANTAI KUNDOR KEKAL BIRU
Next post PRN MELAKA: SITI AISYAH MAHU TERUSKAN MOMENTUM PEMBANGUNAN PENGKALAN BATU