ICYM BANTU IKHWAN FARIS TERBANG TINGGI, RAIH DUA ANUGERAH

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 26 Oktober – Usaha selama tiga tahun mengikuti Diploma Industri Elektronik membuahkan hasil apabila Nor Ikhwan Faris Norfaisal, 21, meraih dua pengiktirafan pada Majlis Konvokesyen Ke-22 Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM), pada Sabtu.

Ikhwan Faris bukan sahaja menerima Anugerah Pelajar Cemerlang, malah turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kejayaan itu menjadi kepuasan buat anak muda berkenaan apabila segala usaha sepanjang pengajian akhirnya membuahkan hasil, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh dalam bidang kejuruteraan elektronik.

“Gembira, berpuas hati dan rasa segala usaha selama ini terbalas dengan baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas cabaran sepanjang pengajian, anak muda itu berkata, sokongan orang sekeliling menjadi pendorong utama untuk terus berjaya, selain mengakui kemahiran komunikasi antara aspek yang perlu diperbaikinya.

“Cabaran yang paling besar saya hadapi dari segi komunikasi dengan pelajar-pelajar, tetapi saya belajar untuk memperbaiki kemahiran komunikasi saya,” katanya.

Kini bekerja sebagai juruteknik di Likom Melaka, tempatnya menjalani latihan berasaskan kerja (Work-based Learning), Ikhwan Faris merancang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Elektronik di universiti awam.

Dia turut menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan anak muda lain melanjutkan pengajian di ICYM bagi merebut peluang membina kemahiran dan pengalaman di luar bilik kuliah.

“ICYM menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik. Pelajar juga boleh membina ramai kawan dan sahabat serta meningkatkan kemahiran yang mungkin tidak dapat dicari di luar sana,” katanya.

Kejayaan Ikhwan Faris turut menjadi kejutan buat ibu bapanya, Norfaisal Mohd Nor, 49, dan Zetti Akhtar Mohd, 50, yang tidak menyangka anak mereka mampu meraih dua pengiktirafan sekali gus.

Ibunya, Zetti Akhtar yang bertugas di Bahagian Hal Ehwal Pelajar ICYM berkata, sebelum ini dia memang berharap anaknya memperoleh Anugerah Pelajar Cemerlang, namun tidak menyangka Ikhwan Faris turut menerima Anugerah Emas.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah, berkat usaha dan juga doa rakan-rakan serta orang sekeliling kami, tahun ini dia berjaya mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang.

“Yang paling kami terkejut, kami pun tak sangka dia turut dipilih sebagai penerima Anugerah Emas untuk konvokesyen tahun ini,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Norfaisal yang merupakan guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang Besar turut meluahkan rasa syukur atas kejayaan anaknya itu.

“Saya bersyukur alhamdulillah kepada Allah Taala kerana kejayaan yang diberi oleh Ikhwan dan saya rasa tak sangka jugalah atas kejayaan ini. Memang gembira sangat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

157
Kongsi :
Previous post YB ALONG SAYANG, JAGA GENERASI KEDUA FELDA BUKIT SENGGEH