PRN MELAKA: BN DIINGATKAN JANGAN PANDANG RINGAN PIHAK LAWAN – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TELOK MAS 25 Oktober – Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak memandang ringan kelebihan pihak lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, sebaliknya perlu terus memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesiapsiagaan bagi mempertahankan Kerajaan Negeri.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setiap jentera parti perlu terus bekerja keras dan memastikan semua komponen bergerak secara bersama bagi menghadapi cabaran sepanjang tempoh berkempen.

“Dalam siri pilihan raya ini, jangan pandang ringan lawan kita. Lawan kita juga mempunyai kelebihan kerana mereka akan datang dengan segala bala tenteranya untuk mengaburi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Kota Melaka di Bilik Gerakan BN Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi BN Parlimen Kota Melaka Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; penyandang kerusi DUN Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengerusi MIC Negeri Melaka Datuk VP Shanmugam; Ketua MCA Bahagian Kota Melaka Datuk Wira Gan Tian Loo dan kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, pengalaman kekalahan pada pilihan raya terdahulu perlu dijadikan pengajaran bagi memastikan jentera parti lebih bersedia, tersusun dan mampu menghadapi cabaran pada PRN kali ini.

Katanya, Telok Mas dan Duyong antara kerusi yang perlu diberi perhatian dalam usaha BN membentuk Kerajaan Negeri, sekali gus menuntut komitmen semua jentera parti komponen untuk bergerak seiring.

Beliau turut menggesa penyokong dan jentera parti hadir beramai-ramai mengiringi calon pada hari penamaan calon sebagai tanda sokongan serta semangat terhadap perjuangan BN.

Menurutnya, perpaduan dalam kalangan parti komponen perlu terus diperkukuh meskipun terdapat perbezaan pandangan, kerana kesatuan menjadi asas penting dalam menghadapi pilihan raya.

“Memang ada hati yang tergores, memang ada hati yang terbuka, tetapi kita melihat jauh daripada itu bahawa gambaran yang akan menunjukkan kemenangan Negeri Melaka, inilah gambaran jambatan menuju ke Putrajaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

241
Kongsi :
Previous post KAMPUNG DIGITAL MELAKA BAKAL JADI RUJUKAN ASIA TENGGARA
Next post PRN MELAKA: TOK AJAK SASAR BN, RAKAN STRATEGIK RAMPAS DUN KESIDANG