PRN MELAKA: GAGAL CARI KELEMAHAN, SERANGAN PERIBADI BAKAL JADI SENJATA LAWAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 26 Oktober – Serangan peribadi terhadap calon Barisan Nasional (BN) di DUN Duyong dan Telok Mas dijangka menjadi antara cabaran kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, kata Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau mendakwa serangan sedemikian berkemungkinan digunakan pihak lawan sekiranya gagal mencari kelemahan pentadbiran negeri untuk dijadikan isu sepanjang kempen.

Sehubungan itu, beliau menggesa jentera BN di Duyong dan Telok Mas supaya memperkukuh penggunaan media sosial bagi menjawab serangan serta memastikan maklumat tepat disampaikan kepada masyarakat.

“Mereka (pihak lawan) tidak dapat mencari ruang kesilapan kita mentadbir negeri, dia akan mencari masalah-masalah yang menjurus kepada penghinaan peribadi.

“Jadi orang Duyong, orang Telok Mas, jangan leka. Kita bela calon kita, kita bela pemimpin kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Kota Melaka di Bilik Gerakan BN Telok Mas, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka merangkap Pengerusi BN Parlimen Kota Melaka Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; penyandang kerusi DUN Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengerusi MIC Melaka Datuk VP Shanmugam dan Ketua MCA Bahagian Kota Melaka Datuk Wira Gan Tian Loo.

Ab Rauf berkata, penggunaan media sosial perlu digerakkan secara bersama oleh jentera parti bagi memperluas penyampaian maklumat kepada pengundi sepanjang tempoh kempen.

Katanya, jentera parti digalakkan mengikuti akaun media sosial calon BN di Duyong dan Telok Mas bagi mendapatkan maklumat tepat sebelum dikongsikan kepada komuniti setempat.

“Telefon pintar dan platform media sosial kini menjadi saluran penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, justeru jentera parti perlu memanfaatkan medium berkenaan secara aktif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

448
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: TOK AJAK SASAR BN, RAKAN STRATEGIK RAMPAS DUN KESIDANG