PRN MELAKA: TOK AJAK SASAR BN, RAKAN STRATEGIK RAMPAS DUN KESIDANG

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TELOK MAS 25 Oktober – Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Melaka menyasarkan untuk menambah satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi usaha membantu rakan strategik merampas Kesidang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Parlimen Kota Melaka Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, jentera UMNO dan BN di Kesidang telah diarahkan memberi sokongan penuh kepada rakan strategik bagi memastikan kemenangan di kerusi berkenaan pada 14 November ini.

Katanya, sasaran itu melengkapkan usaha BN mempertahankan dua kerusi DUN yang dimenangi pada PRN lalu, iaitu Duyong dan Telok Mas.

“Dengan adanya gabungan atau kerjasama dengan rakan strategik ini, saya menyasarkan 2+1. Kita akan membantu rakan strategik 100 peratus untuk mencapai kemenangan di DUN Kesidang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Kota Melaka yang dirasmikan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan BN Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama penyandang kerusi DUN Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengerusi MIC Negeri Melaka Datuk VP Shanmugam; Ketua MCA Bahagian Kota Melaka Datuk Wira Gan Tian Loo dan kenamaan lain.

Abdul Razak yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka berkata, Kesidang pernah menjadi kubu kemenangan BN sebelum kerusi berkenaan dimenangi DAP pada dua pilihan raya lalu.

Katanya, persiapan jentera bagi menghadapi PRN kali ini telah digerakkan sejak tahun lalu, khususnya di Duyong dan Telok Mas, bagi memastikan kesiapsiagaan parti mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan.

Beliau berkata, komitmen itu juga bagi memastikan khidmat kepada rakyat di kedua-dua kawasan berkenaan dapat diteruskan menerusi gerak kerja wakil rakyat sepanjang tempoh lima tahun lalu.

“Saya mahu meneruskan komitmen untuk meneruskan khidmat kepada rakyat di kedua-dua kawasan ini menerusi gerak kerja wakil rakyat sepanjang tempoh lima tahun lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN DIINGATKAN JANGAN PANDANG RINGAN PIHAK LAWAN – AB RAUF
Next post PRN MELAKA: GAGAL CARI KELEMAHAN, SERANGAN PERIBADI BAKAL JADI SENJATA LAWAN