
PRN MELAKA: TUMINAH IKRAR BERIKAN KHIDMAT TERBAIK, MAHU PANTAI KUNDOR KEKAL BIRU
AYER KEROH 25 Oktober – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi @Mohd hashim bertekad memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 akan datang.
Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan kepadanya selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kawasan itu akan dimanfaatkan sebaiknya dengan memperkukuh gerak kerja serta mendekati masyarakat setempat.
Tuminah yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundor berkata, beliau akan mencurahkan segala usaha dan bakti bagi memastikan kepentingan rakyat Pantai Kundor terus diberi perhatian.
“Walaupun terdapat pelbagai pandangan dan spekulasi mengenai calon yang bakal diketengahkan sebelum ini, semua pihak perlu menerima keputusan yang dibuat dan kembali bersatu demi kepentingan parti.
“Dalam politik, semua manusia ada keinginan dan itu tidak menjadi masalah. Tetapi selepas penamaan calon, kita akan rapatkan barisan dan bagi saya, kita kena bekerjasama untuk memenangkan BN dan UMNO di kerusi DUN Pantai Kundor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang disempurnakan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr. Loga Bala Mon; Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung Barisan Nasional Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Tuminah berkata, jentera parti perlu mengetepikan sebarang perbezaan dan perasaan yang timbul sebelum pengumuman calon bagi memastikan gerak kerja menghadapi PRN dapat dilaksanakan secara tersusun.
Katanya, penyatuan jentera menjadi antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian bagi menggerakkan usaha parti di kawasan berkenaan.
“Apa yang penting jentera kena rapatkan barisan balik. Buangkan semua perasaan yang ada sebelum ini dan kita birukan Pantai Kundor,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


