AB RAUF MAHU TERUS BONGKAR SEJARAH KEHEBATAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berhasrat meneruskan usaha membongkar sejarah kehebatan tamadun Melayu Melaka sekiranya masih diberi mandat untuk mentadbir Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, usaha itu perlu diteruskan bagi memastikan generasi muda memperoleh pemahaman lebih mendalam mengenai kehebatan tamadun Melayu yang pernah berkembang sejak berabad-abad lalu.

“Jika terus diizinkan Allah SWT untuk mentadbir negeri, saya akan membentangkan sejarah kehebatan Melayu Melaka ini jauh lebih hebat daripada apa yang kita tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Bakti Siswa Madani di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi; Rektor UiTM Cawangan Melaka Profesor Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, mahasiswa dan anak muda khususnya perlu mengambil kesempatan meneroka sejarah berkenaan bagi memahami kekuatan leluhur bangsa Melayu serta menjadikannya inspirasi membina masa depan.

“Kalau saya nak cerita sejarah Melaka ini terlalu panjang, sebab saya katakan tadi, kalau nak dilipat sebesar kuku, dibentang selebar alam.

“Kajilah, bacalah, dan saya akan bawa balik naskhah kehebatan Melayu ini, kalau diizinkan Allah SWT untuk saya mengurus pentadbiran Melaka lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

422
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ALONG MAHU TERUS BEKERJA UNTUK RAKYAT, SEJAHTERAKAN ASAHAN
Next post PRN MELAKA: TOK HAMEED PELIHARA IKATAN ‘POGHUT’ MESKIPUN BERBEZA PANDANGAN