MELAKA TIDAK LAGI SAMBUT MERDEKA DI TAPAK TINGGALAN PENJAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Oktober – Melaka tidak lagi menjadikan kawasan sekitar Tugu Kota A Famosa sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan bagi mengangkat semangat kemerdekaan dan kebanggaan terhadap sejarah serta kedaulatan bangsa Melayu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perubahan lokasi sambutan itu dilaksanakan sejak beliau mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri bagi memastikan kemeriahan kemerdekaan diraikan di lokasi yang mencerminkan kekuatan dan kebanggaan negeri.

Beliau berkata, Melaka perlu berdiri atas kekuatan sendiri dan tidak lagi menjadikan kawasan yang dikaitkan dengan kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka sebagai tempat utama meraikan kemerdekaan negara.

“Melaka takkan menyambut Merdeka di kawasan-kawasan yang… Itu kita dah buat. Kita tak lagi meraikan Hari Kebangsaan di hadapan Tugu A Famosa.

“Sejak saya mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri, saya mengalihkan sambutan kemerdekaan ini kerana kita mesti berdiri atas kaki kita sendiri dan tidak lagi meraikan di tapak keruntuhan Kerajaan Melayu Melaka dan kawasan tinggalan penjajah di bumi Melaka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bakti Siswa Madani di Dewan Terbuka Kampung Pulau, Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi; Rektor UiTM Cawangan Melaka Profesor Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pendekatan itu turut mencerminkan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh penghayatan sejarah serta membina semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya perlu menjadi ruang untuk rakyat memahami perjuangan kemerdekaan dan menghargai kedaulatan negara.

Kerajaan Negeri sebelum ini menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Persiaran Jalan Pantai Klebang pada 31 Ogos 2026, dengan pelbagai pengisian bagi menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1063
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: NADARAJAH TEKAD PERTAHAN GADEK, BANTU BN TAMBAH KERUSI DUN
Next post PRN MELAKA: ALONG MAHU TERUS BEKERJA UNTUK RAKYAT, SEJAHTERAKAN ASAHAN