
PRN MELAKA: TOK AJAK JANJI TERUSKAN KHIDMAT, TINGKAT KUALITI PERKHIDMATAN DI TELOK MAS
AYER KEROH 25 Oktober – Kesinambungan khidmat bakti serta penambahbaikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat menjadi keutamaan Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, selepas diumumkan kekal sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Abdul Razak berkata, kepercayaan diberikan kepimpinan parti untuk sekali lagi mewakili BN DUN itu merupakan tanggungjawab besar yang akan dipikul sebaik mungkin bagi memastikan kebajikan penduduk terus diberi perhatian.
“Insya-Allah, saya akan pikul tanggungjawab ini sebaik mungkin untuk terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat di Telok Mas.
“Perkara-perkara yang telah saya lakukan selama lima tahun ini, kita akan teruskan dan kita akan buat penambahbaikan untuk kualiti perkhidmatan kepada rakyat di Telok Mas,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas pengumuman calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Mesra disapa Tok Ajak, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas kepercayaan diberikan untuk mempertahankan DUN Telok Mas.
Beliau berharap mandat baharu yang bakal ditentukan rakyat pada PRN kali ini membolehkan usaha dan perkhidmatan yang telah dilaksanakan diteruskan, selain memberi ruang kepada penambahbaikan demi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Tok Ajak diumumkan kekal sebagai calon BN bagi DUN Telok Mas pada PRN Melaka ke-16 yang dijadual berlangsung pada 14 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


