
PRN MELAKA: RIDHWAN TEKAD PERTAHAN AYER MOLEK SEBAGAI KUBU KUAT BN
AYER KEROH 25 Oktober – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali bertekad mempertahankan kerusi yang juga antara kubu kuat UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Mohd Ridhwan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berkata, amanah diberikan kepimpinan parti akan digalas sebaik mungkin dengan sokongan rakan seperjuangan bagi memastikan BN terus mendapat kepercayaan rakyat di Ayer Molek.
“Sememangnya ini satu amanah yang besar daripada kepimpinan parti dan saya bersama rakan-rakan sudah tentunya akan berusaha sehabis baik untuk memastikan DUN Ayer Molek terus menjadi antara kubu kuat BN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mohd Ridhwan berkata, pelbagai inisiatif akan digerakkan bagi memastikan BN terus mempertahankan Ayer Molek serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap parti itu.
Menurutnya, usaha berkenaan juga penting bagi memastikan BN memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Kita nak ‘deliver’ kerusi untuk membentuk Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.
PRN Melaka ke-16 dijadual berlangsung pada 14 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


