
PRN MELAKA: ZAHID JANJI PERLUAS TVET UNTUK ANAK MUDA MELAKA
AYER KEROH 25 Oktober – Barisan Nasional (BN) berjanji memperluas pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda Melaka, sekali gus membolehkan mereka membina kerjaya serta keluarga di negeri sendiri.
Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu penting bagi memastikan generasi muda mempunyai kemahiran dan peluang untuk berjaya tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET berkata, pembangunan ekosistem akan memberi ruang kepada anak muda mendapatkan kemahiran dan bekerja dengan gaji berkualiti.
“Insya-Allah janji saya, kita akan memperluaskan TVET untuk anak-anak muda negeri Melaka. Kemahiran dicipta dan peluang keusahawanan supaya anak-anak muda Melaka dapat belajar.
“Anak-anak muda dan rakyat Melaka dapat bekerja serta membina keluarga di negeri sendiri dan tidak perlu berhijrah ke negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Pengerusi Barisan Nasional Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr. Loga Bala Mon; Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung Barisan Nasional Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain kenamaan.
Ahmad Zahid berkata, BN mahu memastikan anak muda mempunyai pilihan kerjaya yang baik serta peluang untuk membina masa depan di Melaka, termasuk mengembangkan perniagaan di kawasan kampung.
“Kita mahu anak-anak muda mempunyai pilihan kerjaya yang baik dan peluang untuk berjaya di tanah kelahiran negeri sendiri.
“Kita mahu perniagaan biasa berkembang dan anak muda boleh berjaya dari kampung mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperluas peluang pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan itu memerlukan mandat rakyat supaya perancangan pembangunan negeri dapat diteruskan.
“Saudara-saudari, semua ini memerlukan mandat rakyat untuk diteruskan. So, the work must start now,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

