PRN MELAKA: CALON BN DUN LENDU BERGEGAS KE LOKASI POKOK TUMBANG, PRIHATIN NASIB TIGA MANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 25 Oktober – Keprihatinan terhadap nasib rakyat terus menjadi keutamaan apabila calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid bergegas ke lokasi pokok tumbang di sebuah restoran di Kampung Bukit Beringin, malam ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri mewakili Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sejurus selesai menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Negeri Melaka.

Menurutnya, kejadian pokok tumbang itu mengakibatkan tiga individu mengalami kecederaan serius.

“Usai sahaja Pelancaran Jentera BN malam ini saya terus sahaja ke Kampung Bukit Beringin, lokasi pokok tumbang hingga mengakibatkan kecederaan yang serius kepada tiga orang di sebuah kedai makan.

“Semoga Allah SWT memberikan kemudahan kepada mangsa,” katanya.

Abdul Hakim berharap semua mangsa diberikan kekuatan dan dipermudahkan urusan, selain mendoakan agar mereka segera pulih daripada kecederaan dialami.

Kehadiran Abdul Hakim di lokasi kejadian mencerminkan keprihatinan terhadap keselamatan dan kebajikan masyarakat, khususnya ketika berdepan insiden yang mengancam keselamatan orang awam.

Beliau sebelum ini diumumkan sebagai calon BN bagi DUN Lendu pada PRN Melaka ke-16.

PRN Melaka ke-16 dijadual berlangsung pada 14 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

635
Kongsi :
Previous post PH UMUM 21 CALON BERTANDING PADA PRN MELAKA