
PRN MELAKA: BN MELAKA AMAL POLITIK SIHAT, FOKUS KHIDMAT KEPADA RAKYAT
AYER KEROH 25 Oktober – Melaka bukan bumi fitnah, hasutan dan politik kebencian, sebaliknya negeri yang mengutamakan budaya politik sihat serta persaingan berasaskan khidmat kepada rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya tidak menjadikan keburukan pihak lain sebagai modal untuk menaikkan diri, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memenuhi keperluan rakyat.
Beliau berkata, rakyat akan menilai setiap parti dan calon berdasarkan kerja serta perkhidmatan yang dilaksanakan, bukan melalui fitnah atau prasangka terhadap pihak lain.
“Kita menjalankan perkhidmatan dengan memenuhi semua kehendak rakyat tanpa ada unsur-unsur fitnah, unsur jahat, prasangka ataupun politik kebencian.
“Kita tak menceritakan keburukan orang untuk menaikkan diri kita. Kita tak memikirkan keburukan orang supaya kita nampak elok. Kita juga melakukan kerja yang terbaik kerana rakyat menilai berdasarkan apa yang kita buat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka yang disempurnakan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr. Loga Bala Mon; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, budaya politik berasaskan hasutan, kebencian dan fitnah tidak sepatutnya menjadi amalan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang membawa budaya sedemikian perlu bermuhasabah kerana rakyat Melaka tidak memerlukan politik yang memecahbelahkan masyarakat.
“Sebab itu saya katakan tadi, bumi Melaka ini bukan bumi fitnah ataupun negeri untuk memupuk semangat kebencian, politik jahat ataupun politik hasutan. Kita tidak mengamalkan budaya ini di negeri Melaka.
“Sesiapa yang datang mengamalkan budaya ini, tepuk dada tanya selera. Rakyat akan menilai,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya menerima kritikan secara matang dan menjadikan pentas demokrasi sebagai ruang menyampaikan pandangan secara sihat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


