
PH UMUM 21 CALON BERTANDING PADA PRN MELAKA
MELAKA 25 Oktober – Pakatan Harapan (PH) mengumumkan 21 calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.
Senarai tersebut diumumkan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong di sini, malam tadi.
Anwar dalam ucapannya berkata setiap calon mewakili semangat perjuangan PH dan kemenangan mereka kelak terletak di tangan pengundi yang akan memberi sokongan kepada parti itu.
“Insya-Allah orang Melaka akan bangkit dan tunjukkan bahawa mesti ada perubahan di Melaka untuk masa depan yang lebih jelas.
“Saya harap semangat orang Melaka luar biasa untuk bawa perubahan untuk masa depan kita, anak-anak kita, ibu bapa kita dan keluarga kita,” katanya.
Pengumuman tersebut menyaksikan DAP mengekalkan empat penyandang iaitu Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng ChaunYen (Banda Hilir).
Selain itu, bekas Ketua Menteri yang juga Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Datuk Ginie Lim Siew Lin kembali ke “gelanggang” bertanding di kerusi DUN berkenaan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tangga Batu Farzana Hayani Mohd Nasir juga diumumkan bertanding di kerusi DUN Kelebang.
Beliau sebelum ini pernah dicalonkan bagi kerusi DUN Sungai Rambai pada PRN Melaka yang diadakan pada 2021.
Calon PH bagi PRN Melaka adalah seperti berikut:
N.01 Kuala Linggi – Muhammad Mukhlisul Mubin Julaisapiyah (Amanah)
N.02 Tanjung Bidara – Mohd Yunazri Mustamiri (PKR)
N.06 Rembia – Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (PKR)
N.07 Gadek – Jegasilan K (DAP)
N.08 Machap Jaya – Datuk Ginie Lim Siew Lin (PKR)
N.09 Durian Tunggal – Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Amanah)
N.10 Asahan – Denesh A/L Palasubraniam (PKR)
N.13 Paya Rumput – Datuk Azman Abidin (PKR)
N.14 Kelebang – Farzana Hayani Mohd Nasir (PKR)
N.15 Pengkalan Batu – Jason Tze-Xi Nathan (DAP)
N.16 Ayer Keroh – Kerk Chee Yee (DAP)
N.17 Bukit Katil – Adly Zahari (Amanah)
N.18 Ayer Molek – Muhammad Hakimin Mokhtar (PKR)
N.19 Kesidang – Allex Seah Shoo Chin (DAP)
N.20 Kota Laksamana – Low Chee Leong (DAP)
N.21 Duyong – Poo Long Suan (DAP)
N.22 Bandar Hilir – Leng Chau Yen (DAP)
N.23 Telok Mas – Kapten (B) Mohamad Jaafar (Amanah)
N.25 Rim – Esma Eazreen Husin (PKR)
N.26 Serkam – Muhammad Faiq Azman (PKR)
N.27 Merlimau – Rahayu Hamzah (Amanah)
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

