
PRN MELAKA: 8 MUKA BAHARU BN DIGESA KERJA LEBIH KUAT DAN MANTAP
AYER KEROH 24 Oktober – Muka baharu yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) digesa bekerja lebih kuat dan mantap bagi memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, 14 November ini.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, calon yang diberi kepercayaan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu membuktikan kemampuan masing-masing menerusi usaha bersungguh-sungguh mendekati rakyat.
Beliau berkata, daripada keseluruhan calon yang diumumkan, lapan merupakan muka baharu yang bakal menggalas tanggungjawab mewakili BN di kawasan masing-masing.
“Saya harap mereka yang terpilih sebagai calon ini boleh bekerja dengan lebih kuat dan mantap supaya pada 14 November nanti (hari pengundian), mereka boleh menunjukkan kecemerlangan dalam memenangi kerusi kawasan yang dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka yang disempurnakan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr. Loga Bala Mon; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, antara muka baharu yang diketengahkan adalah Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid yang dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu; Ahmad Norazril Abd Aziz (DUN Rembia); S Nadarajah (DUN Gadek) dan Datuk Dr. Mustafa Musa (DUN Durian Tunggal).
Selain itu, turut dicalonkan Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang dipertaruhkan di DUN Ayer Molek; Siti Aisyah Mahmood (DUN Pengkalan Batu); Datuk Azman Abdullah (DUN Serkam) dan Jezlee Pit (DUN Sungai Rambai).
Beliau berkata, calon yang dipilih perlu memanfaatkan tempoh berkempen untuk memperkukuh gerak kerja serta memastikan sokongan rakyat dapat diterjemahkan kepada kemenangan pada hari pengundian.
PRN Melaka dijadual berlangsung pada 14 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


