PRN MELAKA: ZAHID INGATKAN CALON BN JANGAN BERMEGAH, ELAK PERPECAHAN JENTERA PARTI

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 25 Oktober – Calon Barisan Nasional (BN) yang diberi kepercayaan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diingatkan supaya tidak bermegah dengan pemilihan itu, sebaliknya terus merendah diri dan memperkukuh kerjasama bagi memastikan kemenangan parti.

Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon yang terpilih diingatkan agar tidak hanya mementingkan kedudukan atau kerusi, malah perlu memastikan jentera parti bergerak secara bersama dan tidak membentuk pasukan sendiri sehingga menjejaskan kekuatan BN.

Menurutnya, kelemahan dalaman dan perpecahan dalam kalangan jentera parti boleh membuka ruang kepada pihak lawan untuk meraih kemenangan.

Beliau berkata, pengalaman kekalahan sebelum ini perlu dijadikan pengajaran bahawa kekuatan lawan bukan satu-satunya faktor, sebaliknya kelemahan sendiri turut menyumbang kepada kegagalan.

“Kita selalu diingatkan, kekalahan yang kita alami selama ini bukan musuh kita kuat, tetapi berpunca daripada kelemahan kita sendiri. Perpecahan akan memberi ruang kepada lawan untuk menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Pengerusi Barisan Nasional Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr. Loga Bala Mon; Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung Barisan Nasional Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut meminta mereka yang tidak terpilih sebagai calon supaya tidak berkecil hati atau menarik diri daripada perjuangan, sebaliknya terus memainkan peranan bagi membantu parti mencapai kemenangan.

“Kepada yang tidak terpilih pula, jangan kecil hati, hingga menarik diri dari perjuangan. Kita semua memikul tanggungjawab yang sama, memenangkan calon-calon Barisan Nasional,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, semua anggota parti perlu menyedari bahawa perjuangan untuk memenangi PRN bukan hanya terletak di bahu calon, tetapi memerlukan sokongan dan komitmen seluruh jentera.

Katanya, jika sebelum ini calon mendapat bantuan daripada jentera dan kepimpinan parti untuk mencapai kemenangan, kali ini semua pihak perlu berganding bahu membantu calon yang diberi kepercayaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

219
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: RAIS TEKAD RAMPAS SEMULA DUN SUNGAI UDANG UNTUK BN
Next post PRN MELAKA: NORAZRIL TEKAD SATUKAN PENDUDUK REMBIA SEBAGAI SATU KELUARGA