
PRN MELAKA: RAIS TEKAD RAMPAS SEMULA DUN SUNGAI UDANG UNTUK BN
AYER KEROH 25 Oktober – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin bertekad untuk merampas semula kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Rais berkata, beliau bersyukur atas kepercayaan kepimpinan parti selepas diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi berkenaan dan akan berusaha sedaya upaya untuk merampas semula DUN Sungai Udang.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana diberi ruang dan peluang serta mandat pada kali ini oleh parti BN untuk saya merampas kembali N11 DUN Sungai Udang,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman pencalonannya.
Menurutnya, usaha menawan semula Sungai Udang merupakan antara sasaran BN di Parlimen Tangga Batu, selain mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu.
Beliau berkata, dua lagi kerusi yang menjadi tumpuan untuk dipertahankan ialah DUN Klebang dan Pantai Kundor.
“Insya-Allah, Barisan Nasional di Parlimen Tangga Batu kali ini kami akan mempertahankan kerusi Klebang dan juga kerusi Pantai Kundor, saya sendiri akan cuba sedaya upaya untuk merampas Sungai Udang,” katanya.
Untuk rekod, Rais sebelum ini merupakan penyandang kerusi DUN Paya Rumput selepas memenanginya atas tiket BN pada PRN Melaka 2021 dengan memperoleh 6,830 undi dan majoriti 629 undi.
Beliau mewakili kawasan berkenaan sehingga pembubaran DUN Melaka pada 23 September lalu.
Pencalonannya di Sungai Udang kali ini menyaksikan beliau beralih kawasan bagi menggalas misi merampas semula kerusi itu untuk BN.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


