PRN MELAKA: ‘ACIK ZUL’ TEKAD PERTAHAN TABOH NANING

Masa Membaca:50 Saat

AYER KEROH 26 Oktober – Kepercayaan diberikan kepadanya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, akan diterjemahkan kepada kepada kemenangan, kata Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Zulkiflee yang juga penyandang kerusi DUN Taboh Naning berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti khusus Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka kerana memberikan kepercayaan kepada dirinya.

Mesra dengan panggilan ‘Acik Zul’, Zulkiflee mahu meneruskan pembangunan seimbang di DUN berkenaan khusus dengan mengutamakan pembangunan kemudahan awam bagi keselesaan rakyat.

“Sebahagian penduduk di DUN ini adalah mereka sudah berusia, namun tumpuan tidak boleh diberikan kepada satu golongan sahaja, kita juga perlu mendengar kemahuan orang muda. Kedua-duanya perlu seimbang dan bergerak seiring.

“Berhubung pilihan raya, saya sedia menggalas amanah diberikan, saya akan lakukan yang terbaik bagi terus mempertahankan kerusi DUN Taboh Naning,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, meneruskan momentum pembangunan dan menyediakan infrastruktur mengikut keperluan semasa serta membela kebajikan rakyat akan diteruskan pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

177
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: JEZLEE SEDIA GALAS AMANAH DEMI RAKYAT SUNGAI RAMBAI