
FESTIVAL SILANG BUDAYA: KEBAYA BUKAN SEKADAR PAKAIAN KERAIAN
BANDARAYA MELAKA 27 Oktober – Usaha menghidupkan semula tradisi pemakaian kebaya dalam kehidupan seharian, khususnya melibatkan generasi muda, menjadi antara fokus Festival Pertukaran Budaya: Meraikan Warisan Silang Budaya 2026 pada 31 Oktober hingga 1 November ini.
Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara, Dr. Eyo Leng Yan berkata, penganjuran aktiviti senam seni berkebaya bertujuan memperkenalkan pakaian tradisional itu sebagai busana yang bukan sahaja sesuai dipakai ketika majlis keraian, malah dalam pelbagai aktiviti harian.
Leng Yan berkata, pemakaian kebaya yang suatu ketika dahulu menjadi kebiasaan masyarakat, termasuk ketika berkebun dan melakukan kerja rumah, wajar terus dipupuk agar tradisi itu kekal relevan dalam kalangan generasi muda.
“Kita nak tunjukkan kepada masyarakat kebaya ini bukan sahaja dipakai untuk cantik, untuk majlis-majlis keraian tetapi kebaya ini juga sesuai untuk senam seni,” katanya ketika ditemui selepas bersiaran di Konti MelakaFB, di sini, semalam.
Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, Nasrul Ahmad.
Menurutnya, aktiviti senam seni berkebaya itu dijadualkan bermula seawal 7.30 pagi pada 1 November, sebelum diteruskan dengan pertandingan Kebaya Pusaka.
Festival itu turut memberi peluang kepada pengunjung mengenali kepelbagaian kebaya dari negeri dan negara berbeza, sekali gus memperlihatkan keunikan reka bentuk pakaian tradisional yang mencerminkan identiti serta warisan budaya masing-masing.
Selain pengisian berkaitan kebaya, festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama strategik Kerajaan Negeri Melaka itu turut menampilkan persembahan kesenian tradisional, pameran warisan, bengkel kebudayaan serta jualan makanan warisan dan kraftangan.
Sementara itu Nasrul berkata, festival yang berlangsung di perkarangan Muzium Istana Kesultanan Melaka dan beberapa lokasi warisan berdekatan itu menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.
Festival berkenaan menghimpunkan penyertaan enam negara, iaitu Malaysia, Brunei, China, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


