
KEMAS PENGHUBUNG ANTARA KEPERLUAN RAKYAT DAN DASAR KERAJAAN
BANDARAYA MELAKA 27 Oktober – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu memperkukuh peranannya sebagai penghubung antara dasar kerajaan dengan keperluan rakyat bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan lebih berkesan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) berkata, pendekatan pembangunan perlu dirancang secara lebih tersusun dan berasaskan realiti di lapangan kerana terdapat masalah masyarakat yang hanya dapat difahami oleh mereka yang bersama dalam komuniti.
“Tidak semua penyelesaian boleh ditentukan dari Putrajaya kerana ada masalah yang hanya difahami oleh mereka yang hidup dan membesar dalam komuniti itu sendiri.
“Sehubungan itu KEMAS perlu memainkan peranan sebagai penghubung antara dasar Kerajaan dengan realiti kehidupan rakyat.
“Dengar suara komuniti, manfaatkan data setempat dan selaraskan tindakan merentas agensi supaya pembangunan benar-benar menjawab keperluan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Kemajuan Masyarakat Kemas Tahun 2026, di sebuah hotel di Jalan Bendahara, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man dan.
Beliau berkata, pertindihan program antara kementerian dan jabatan kerajaan juga perlu dielakkan bagi memastikan sumber serta tenaga yang diperuntukkan dapat dimanfaatkan secara optimum.
“Jangan sampai pelbagai kementerian dan jabatan turun membawa program yang hampir sama sedangkan masalah asas penduduk masih belum diselesaikan.
“Selain itu, saya mahu kepimpinan komuniti termasuk Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) diperkasakan.
“Kerana mereka bukan sekadar penganjur aktiviti atau penyampai maklumat kerajaan, tetapi mesti menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam mengenal pasti masalah, menentukan keutamaan termasuk mencadangkan penyelesaian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


