DAPUR ROBOH, ZULKIFLEE SEGERA SANTUNI KELUARGA TERJEJAS

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TABOH NANING 27 Oktober – Kejadian bahagian dapur rumah yang roboh di Kampung Sungai Buloh, di sini, mendapat perhatian penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang segera turun padang bagi meninjau keadaan keluarga terjejas.

Kejadian yang menimpa Rogayah A Samah, 54, itu berlaku pada awal pagi Ahad, namun tiga penghuni kediaman berkenaan dilaporkan terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Zulkiflee berkata, sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bergegas ke lokasi bagi meninjau keadaan serta memastikan keselamatan penghuni terjamin.

Menurutnya, kerja-kerja membersihkan runtuhan turut dilaksanakan oleh JPKK bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengelakkan keadaan itu mendatangkan risiko kepada penghuni rumah.

“Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan bahagian dapur yang roboh tidak membahayakan penghuni, selain mengenal pasti tindakan susulan yang perlu diambil.

“Saya juga meminta wakil Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah mengambil tindakan segera untuk menilai tahap kerosakan serta menyelaras bantuan bersesuaian kepada keluarga terbabit,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, perkara itu turut akan dirujuk kepada pihak berkaitan bagi mempertimbangkan bantuan membaik pulih kediaman supaya keluarga berkenaan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Katanya, aspek keselamatan dan kebajikan penghuni akan terus diberi keutamaan, khususnya dalam memastikan keluarga yang ditimpa musibah mendapat perhatian serta bantuan sewajarnya.

“Semoga segala urusan keluarga ini dipermudahkan dan mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

158
Kongsi :
Previous post PLKN 3.0 DICADANG DIPERLUAS KE INSTITUSI TVET AWAM, SASAR 100,000 PESERTA