Disebut jadi calon BN Parlimen Hang Tuah Jaya, Massila minta doakan yang baik-baik

Masa Membaca:58 Saat

DURIAN TUNGGAL 1 November – “Doa yang baik-baik, apa-apa keputusan (pengumuman) tunggu malam ini”.

Itu kata Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin yang namanya disebut-sebut bakal menjadi taruhan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Hang Tuah Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Nama Massila juga dikatakan akan menjadi tokoh akademik yang dipertanggungjawabkan untuk merampas kembali kerusi di Parlimen Hang Tuah Jaya yang sebelum ini milik PKR.

Massila ketika ditemui pemberita bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pencalonan beliau di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak untuk menunggu pengumuman rasmi yang akan dibuat pucuk pimpinan parti, malam ini.

“Baru disebut-sebut (nama) sahaja, saya tidak mahu komen, kita tunggu sahajalah nanti,” katanya ketika ditemui pada sidang media Majlis Konvokesyen ke-18 UTeM, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Massila, 41, dilantik sebagai Naib Canselor UTeM pada 21 Mac lalu, sekali gus menjadi wanita kedua menerajui kepimpinan universiti berkenaan.

Parlimen Hang Tuah Jaya dahulunya menjadi kubu kuat BN berjaya dimenangi oleh calon PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sejak dua penggal lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6622
Kongsi :
Previous post PRU15: JBPM periksa premis percetakan kertas undi
Next post Melaka terus suburkan seni warisan dondang sayang
Ubah saiz-+=