Melaka terus suburkan seni warisan dondang sayang

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDA HILIR 1 November – Pelbagai usaha akan dilakukan Kerajaan Negeri dalam usaha untuk terus menyuburkan seni warisan dondang sayang agar tidak ditelan arus kemodenan zaman.

Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA), Nurman Mohd Baroldin berkata, antara pendekatan yang diambil ialah dengan mengadakan pelbagai program dondang sayang seperti bengkel asas, pertandingan nyanyian dan tarian dondang sayang serta lain-lain lagi.

Katanya, usaha tidak hanya tertumpu kepada golongan dewasa sahaja, malah pihaknya turut menyasarkan penglibatan pelajar dan murid sekolah bagi memastikan seni warisan tidak ketara itu terus gah di bumi Melaka.

“Dondang sayang dipercayai muncul di Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-15 masihi. Uniknya, Dondang Sayang ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu malah turut diminati dan dinyanyikan oleh masyarakat peranakan Baba Nyonya, Chetti dan Portugis di Negeri Melaka.

“Malah, kita juga amat berbangga apabila dondang sayang telah berjaya mendapat pengiktirafan oleh UNESCO sebagai ‘Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity’ pada 24 November 2018 sehingga 1 Disember 2018.

“Dengan pengiktirafan ini, Negeri Melaka perlu menggalas tanggungjawab bagi memastikan dondang sayang terus terlindung untuk diwarisi kepada generasi akan datang sepertimana yang telah dijanjikan kepada pihak UNESCO mengenai pelaksanaan program dan aktiviti serta usaha perlindungan dan lain-lain,” katanya.

DSC_1923
PERSEMBAHAN tarian dondang sayang.

Menurut beliau, antara program terbaharu dianjurkan ialah Pertandingan Nyanyian dan Tarian Dondang Sayang Negeri Melaka Tahun 2022 yang diadakan di perkarangan Muzium Rakyat, Banda Hilir pada 14 hingga 16 Oktober lalu.

Program yang mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka (JKKN) dan Jabatan Warisan Negara itu disertai 98 peserta bagi kategori nyanyian dan 19 kumpulan tarian dari seluruh negara.

Bagi pertandingan nyanyian kategori sekolah rendah, juara menjadi milik Muhd Nur Firash bin Aznan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sebatu, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala dan sijil penghargaan.

Manakala acara tarian kategori sekolah menengah dimenangi Kumpulan Gema Tari dari Sekolah Menengah Seni Kuala Lumpur yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,500, piala dan sijil penghargaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3890
Kongsi :
Previous post Disebut jadi calon BN Parlimen Hang Tuah Jaya, Massila minta doakan yang baik-baik
Next post Pesara maut, motosikal terbakar bergesel lori pasir
Ubah saiz-+=