Pesara maut, motosikal terbakar bergesel lori pasir

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PAYA RUMPUT 1 November – Warga emas maut selepas motosikal ditunggang bergesel dengan lori pasir lalu terbakar dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Krubong, Tampoi di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, mangsa K S Thevadas, 68, yang juga pesara kerajaan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu membabitkan sebuah lori dipandu lelaki berusia 57 tahun dan motosikal Honda Wave.

Beliau berkata, sebelum kejadian lori terbabit dalam perjalanan dari arah Krubong Tampoi menghala ke Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

“Kejadian dipercayai berlaku apabila setibanya di lampu isyarat, lampu bertukar hijau dan mangsa yang menunggang seorang diri datang dari arah kiri dikatakan memotong lori ke arah kanan jalan.

“Akibat daripada itu berlaku pergeselan antara kedua-dua kenderaan terbabit. Susulan daripada pergeselan motosikal terseret dan menyebabkan motosikal itu terbakar,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dan mayatnya kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

“Kedua-dua kenderaan kini ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut.

“Sampel darah pemandu lori diambil bagi tujuan ujian alkohol dan dadah selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7063
Kongsi :
Previous post Melaka terus suburkan seni warisan dondang sayang
Next post 3,149 graduan UTeM dirai pada konvokesyen ke-18
Ubah saiz-+=