Sorting by

×

Dos penggalak: Ambil demi kesihatan, tanggungjawab

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

PENGKALAN BATU 24 Jan – Hamil 30 minggu bukan alasan seorang ibu untuk tidak menerima suntikan panggalak vaksin COVID-19 malah melakukannya demi keselamatan keluarga dan kandungannya.

Bagi Suhana A. Rahim 40, berkata, meskipun kenalannya mengatakan penggambilan dos itu memberi kesan sampingan namun dia tetap meneruskan suntikan berkenaan demi mencegah penularan pandemik serta tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.

Dia yang menetap di Bukit Rambai berkata suntikan itu tetap diteruskan dan dia ahli keluarga pertama yang menerima penggalak manakala suami dan anak-anaknya lengkap suntikan vaksin.

SUHANA A.Rahim, 40 ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KIPMall, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Orang kata kalau ikutkan kesan penggalak sedikit teruk tapi kita ikhtiar dan minta doa supaya tidak ada apa apa sebab setakat ini untuk dos pertama dan kedua sebelum ini memang tiada apa apa berlaku.

“Ada juga yang kata ambil penggalak kesan badan letih, tak berapa sihat macam kawan saya seminggu pun tak sihat mungkin sebab imunisasi, tapi kita kena fikir baik jadi sebagai tanggugjawab untuk mencegah, kita ambil sajalah,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Tinjauan MHI di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘ Offsite’ di Pusat Beli Belah KIPMall mendapati suasana lancar namun tidak ramai yang hadir meskipun kerajaan telah membuka peluang itu kepada warga emas mulai hari ini.

Bagaimanapun, ia hanya dihadiri golongan berusia 20 hingga 40 an yang menetap dalam kawasan Melaka Tengah.

S.KOOMATHI, 30 ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KIPMall, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, S. Koomathi, 30 berkata, dia berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan di PPV itu dan mengambil inisiatif datang terus tanpa memerlukan temu janji menerusi MySejahtera.

“Saya dah genap enam bulan (lengkap vaksinasi) jadi saya datang terus saja tanpa janji temu kerana ini inisiatif yang perlu diambil oleh setiap individu bagi mengekang penularan ini.

“Bagi saya kita kena jaga kita sebab vaksin ini penting kalau kita mahu keluar ke mana-mana. Biarpun orang kata ada padahnya tapi kita kena ambil kebaikannya dan reda saja dengan apa yang berlaku,” katanya yang datang dari Semabok.

SOFIA Md Nasir, 45 ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KIPMall, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada masa sama, Sofia Md Nasir, 45, mengambil cuti separuh hari demi mengambil suntikan vaksin.

Katanya, majikannya memberikan galakan semua pekerja mengambil vaksin dan hari ini dia diberi pelepasan untuk menerima suntikan itu.

“Alhamdulillah semua perkhidmatan di PPV ini berjalan lancar dan nasihatkan orang ramai untuk terus tidak menghindari seruan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

797
Kongsi :
Previous post Angkara rokok elektronik, pelajar sekolah teknik ‘jadi lauk’ dibuli senior
Next post Zii Jia merayu kepada BAM terhadap penggantungan dua tahun
Ubah saiz-+=